KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berharap karier pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman tidak terencat di tengah jalan dan dapat melengkapkan penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia sehingga ke hujung musim.
Zulfahmi berkata, Syarifuddin atau lebih mesra dengan panggilan Damok memerlukan anggaran RM3.5 juta untuk melengkapkan musim.
“Jika ikut bajet yang ada sekarang kita hanya mampu bertahan lima pusingan daripada 21 perlumbaan kesemuanya bagi musim 2023.
“Untuk permulaan karier Damok ini memang kritikal, sebab dia masih baru. Jika Damok mempamer prestasi baik musim ini, untuk musim akan datang, pasukannya akan bayar berdasarkan prestasinya, selain itu, penaja akan masuk sendiri.
“Saya harap kita tak patah balik, kita teruskan perjuangan sampai akhir, saya percaya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) memandang serius masalah ini.
“Buat masa sekarang untuk penajaan korporat tiada, ada beberapa pihak memberikan sokongan kepada Hakim Danish dan juga Danial Syahmi tetapi untuk Damok kita masih mencari penaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu memberitahu, ZK Racing yang sebelum ini hanya bertanggungjawab mencungkil bakat dan memastikan prestasi konsisten Damok, kini diberi peranan mencari penajaan untuk pelumba berusia 21 tahun itu.
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah memberi tanggungjawab itu dan dalam masa sama, ZK Racing turut mengharapkan sokongan daripada pengurusan SIC bagi membantu mencari penaja buat Damok yang akan melakukan penampilan sulung bersama MTHelmets_MSi.
“Secara jujurnya kita hanya ada penaja yang kecil-kecil, tetapi belum boleh umumkan, penajaan utama masih tunggu jawapan SIC untuk komited dengan program ini,” ujarnya.
Zulfahmi turut mengakui, buat masa sekarang, pihaknya menggunakan modal sendiri.
“Setakat ini guna modal sendiri, SIC pula masih menyokong kita guna peralatan dan aset yang dijaga oleh ZK Racing di Motorsport Park.
“Tetapi sudah tentu dari segi komitmen kewangan, yuran, perbelanjaan perjalanan pelumba, untuk suku pertama ini memang ZK Razing masih mampu tanggung, tetapi kita juga harapkan dengan kerajaan baharu ini semuanya boleh berubah selepas April,” tegasnya.
Zulfahmi juga amat berharap jika tidak menyokong dari segi kewangan sekalipun, SIC ataupun KBS dapat membantu pihaknya mencari penaja utama bagi meneruskan kelangsungan karier Damok untuk jangka masa panjang.