PETALING JAYA: Harimau Malaya kini memiliki lebih banyak pilihan pemain menjelang kempen Piala Asia di Qatar, Januari depan apabila dua lagi tonggak import Liga Malaysia (Liga M) mendapat status naturalisasi.
Kapten Kuala Lumpur City (KL City), Paulo Josue dan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Endrick dos Santos berjaya dinaturalisasikan oleh kelab masing-masing.
Itu menjadikan mereka pemain naturalisasi keenam dan ketujuh yang berada di pasaran untuk dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.
Malaysia sebelum ini sudah mendapatkan khidmat Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck dan Sergio Aguero.
“Ya (Josue sudah bergelar naturalisasi). Sudah tujuh musim dia berada di Malaysia dan dia boleh meminta kerakyatan selepas lima tahun.
“Walaupun sudah berusia 33 tahun tetapi dia sangat profesional. Dengan pengetahuan dimiliki, saya percaya dia membantu skuad kebangsaan untuk beberapa tahun lagi,” kata pengendali KL City, Bojak Hodak mengenai tonggak dari Brazil itu.
Dos Santos, 27, yang juga kelahiran Brazil pula dilihat berada dalam senarai simpanan bersama Leandro Velazquez pada perlawanan Sumbangsih menentang Terengganu FC malam tadi.
Mengikut peraturan Liga M, hanya enam pemain import dibenarkan untuk disenaraikan dengan lima di atas padang, manakala seorang lagi di bangku simpanan.
Situasi itu sekali gus mengesahkan Dos Santos sebenarnya sudah dinaturalisasikan oleh skuad Harimau Selatan. – UTUSAN ONLINE