Hanis tidak perlu merayu - Subahan

Hanis tidak perlu merayu – Subahan

SUBAHAN KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn tidak perlu membuat rayuan bagi hukuman yang sedang dijalaninya iaitu penggantungan mewakili negara ke kejohanan antarabangsa kerana pihak Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan memikirkan keputusan susulan yang terbaik.

Demikian penegasan yang dibuat Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berhubung kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang membenarkan atlet itu membuat rayuan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun MHC selepas tidak dibenarkan mewakili skuad kebangsaan ke Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini.

Kata Subahan, isu rayuan masih terlalu awal untuk dibahaskan namun yang lebih penting untuk difahami sekarang adalah, setiap kelakuan pemain adalah tertakluk kepada peraturan ditetapkan pihak persatuan dan mereka perlu mematuhi peraturan itu bagi mengelak sebarang masalah timbul.

Jelasnya juga, buat masa ini adalah lebih baik untuk Hanis menjalani hukuman, sebelum MHC memikirkan langkah seterusnya sama ada untuk berbincang sekali lagi dengan MSN dan pihak menteri mengenai keputusan tersebut.

Biarpun tidak dapat beraksi di pentas luar, MHC sebagai badan induk yang berintegriti masih menyokong penuh penglibatan atlet berusia 27 tahun itu dalam Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2023 yang telah pun bermula minggu lalu, sebagai langkah menjaga kedudukannya selaku tonggak utama negara.

“Saya nak semua faham, ini bukan pasal politik. Sebagai orang yang menjaga hoki dan sudah lama berkecimpung dalam sukan, memang tiada tempat untuk diskriminasi, tak kira apa bangsa dan apa agama.

“Hanya bila kita adakan mesyuarat dengan MSN, maka kita pun sepakat ambil tindakan, berasaskan apa yang telah dia lakukan. Kita faham Hanis budak baik, dia tidak berniat pun keluarkan kata-kata itu tetapi perkara telah pun terjadi.

“Sebab itu saya katakan, kurangkan penglibatan dalam media sosial. Walaupun kita tidak berniat, orang akan salah tafsir kerana mereka ada sensitiviti. Namun begitu, Hanis seorang yang profesional. Dia pun dah terima keputusan ini dengan hati terbuka.

“Dari segi rayuan tu, biar kita jalani dulu (hukuman). Tak perlu pun merayu, kerana kita di MHC menjaga atlet kita dengan baik. Kalau ada rayuan pun, pihak saya sendiri akan bertemu dengan MSN dan menteri. Yang Berhormat Menteri pun sebelum ini telah beri ruang sepenuhnya untuk kami sendiri ambil tindakan.

“Sebab itu Hanis masih bermain dalam liga. Kita tak mahu dia kehilangan kemahiran, kecergasan dan perlawanan. Dia tak perlu merayu, saya yang akan merayu kerana ini bukan pasal rayuan sebab Hanis pun tahu yang perkara ini (kesalahan), dia tak boleh buat. Setiap pemain ada call of conduct, perlu ikut peraturan dan ini disiplin yang mereka kena faham,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perlawanan Tempat Ketiga, Keempat dan Final Hoki 5 Sebelah (5s) Bawah 11 dan Bawah 15 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang tadi.

Khamis lalu, Hanis telah digantung mewakili negara ke kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA Kemboja 2023 ekoran kandungan bersifat perkauman yang dimuat naiknya di laman sosial pada 28 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya