Hanis terima pengajaran ‘mahal’

Hanis terima pengajaran ‘mahal’

HANIS NADIAH ONN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan yang dikenakan terhadap pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn mungkin agak keras, namun itulah harga yang perlu diterima dan menjadi peringatan buat semua atlet Malaysia agar berhati-hati mengeluarkan komen.

Biarpun menasihati Hanis Nadiah agar menerima hukuman secara positif, namun bekas jurulatih kebangsaan, Stephen van Huizen pada masa sama berharap pemain berbakat itu diberi peluang kedua.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan mengesahkan, Hanis, 26, digantung daripada mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, termasuk pada Sukan SEA Kemboja, Mei ini.

Tindakan lanjut ke atas Hanis akan diputuskan selepas melihat kelakuannya sepanjang tempoh penggantungan.

Dia didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman apabila me­nulis ‘bau best la kat dalam tu’ di Instagram, merujuk kepada konsert kompo­ser terkenal ­India, A.R. Rahman di Bukit Jalil, 28 Januari lalu.

“Ini kali pertama berlaku dalam kalangan pemain hoki (digantung kerana komen perkauman). Bagi saya, tindakan yang diambil wajar, untuk beri pengajaran kepada semua kerana isu ini pun sudah tular.

“Begitupun, saya harap pihak-pihak terlibat akan memantau keadaan Hanis. Kalau kelakuannya baik sepanjang tempoh penggantungan, saya rasa wajar beri dia peluang kedua.

“Saya yakin pihak berkuasa sudah berbincang bahawa keputusan ini adalah yang sepatutnya demi kebaikan bersama.

“Pemain pun perlu sedar, sukan ini menjadikan mereka role model, jadi mereka perlu berhati-hati dalam percakapan (dan tulisan),” kata Stephen kepada Utusan Malaysia.

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen Hanis tidak berjaya.

Pemain itu bagaimanapun sebelum ini sudah membuat permohonan maaf secara terbuka, malah menegaskan, komen yang dimuatnaik di ­Instagram langsung tidak ber­ninat perkauman.

Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjurannya dan menegaskan dia bukan seorang yang ‘rasis’ dan membesar dalam masyarakat majmuk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya