PETALING JAYA: Juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim menyahut cabaran berkelana ke India untuk menjadi jurulatih kelas dunia, impian itu akan direalisasikan apabila dia bakal bekerjasama dengan juara dunia 2019, P.V Sindhu.
Hafiz, 40, yang mengundur diri dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lalu kini mengikat kontrak dua tahun bersama kelab Akademi Badminton Suchitra di Hyderabad.
Ironinya, Sindhu merupakan produk yang dilahirkan akademi berkenaan, dan Hafiz berpeluang membantu pemain No. 9 dunia itu meraih gelaran juara All England buat kali pertama dalam kariernya sejak mula membuat penampilan pada 2012.
“Sebenarnya pengarah akademi itu pernah menyuarakan minat untuk mendapatkan khidmat saya sejak penghujung tahun lalu tetapi saya terpaksa menolak kerana masih terikat dengan BAM.
“Saya meletak jawatan dari BAM bukanlah sebab ingin berkelana ke India tetapi mahu memajukan kelab saya, Akademi Badminton Hashim tetapi bila saya rasa sukar kerana kebanyakan pemain yang bernaung di kelab saya bukanlah pemain profesional tetapi pemain sosial, selain beberapa lagi kekangan, dan kebetulan kelab India itu melihat saya kini tidak terikat dengan BAM, mereka kembali menawarkan kontrak itu kepada saya.
“Yang menarik perhatian saya adalah apabila pemilik kelab ini ada menyatakan yang dia mahukan saya datang bagi membantu Pusarla Sindhu menghadapi All England bulan depan (14-19 Mac).
“Pada mulanya saya hairan kerana Sindhu pemain kebangsaan dan bukannya bertaraf kelab, tetapi selepas diselidik, dia Sindhu pemain yang lahir dari kelab ini, dan mereka pula rapat seperti keluarga. Sindhu masih datang ke kelab itu dua hingga tiga kali seminggu untuk berlatih.
“Atas kertas, saya bukanlah jurulatih Sindhu tetapi hanya bantu dari sudut segi perkongsian dan pengalaman, bukan melatihnya secara terus, dan ini adalah peluang menarik buat saya untuk bekerja dengan pemain ternama yang masih beraksi ketika ini,” jelas Hafiz yang sebelum ini menjadi jurulatih skuad remaja bawah 15 tahun negara.
All England adalah kejohanan badminton tertua di dunia yang diperkenalkan pada 1900 menyaksikan tiada lagi perseorangan wanita India berjaya meraih gelaran juara, dengan percubaan terbaik adalah menerusi Saina Nehwal pada 2015. – UTUSAN ONLINE