PETALING JAYA: Prospek pingat emas Sukan SEA, Nor Sarah Adi dalam dilema untuk fokus kepada acara lompat bergalah atau 100 meter (m) pada temasya dwitahunan itu di Kemboja, Mei nanti.
Nor Sarah kini tidak lagi berlatih dengan individu yang membantunya meraih pingat emas lompat bergalah dalam Sukan SEA 2021, Manshahar Abdul Jalil sedangkan dia amat memerlukan bantuan serta pemantauan jurulatih bagi menghadapi temasya berkenaan.
Kata Nor Sarah, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memintanya berhubung sendiri dengan bekas jaguh lompat bergalah kebangsaan, Roslinda Samsu untuk mengatur program latihan.
Bagaimanapun, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berdepan kesukaran untuk meneruskan latihan tanpa jurulatih memandangkan Roslinda berkhidmat di Pahang sementara Sarah pula berpangkalan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Apa yang lebih mengganggu tumpuan Nor Sarah, dia turut diminta memberi tumpuan kepada acara pecut 100m meskipun hatinya kuat untuk memilih lompat bergalah.
“Saya sekarang berlatih (lompat bergalah) sendiri dan ia sebenarnya susah sebab acara ini banyak aspek teknikal. Berbanding larian, lompat bergalah ada banyak faktor keselamatan yang perlu dititik beratkan.
“Saya ada hubungi Cikgu Linda (Roslinda) tetapi dia beritahu, dia sendiri perlu bincang dengan Cikgu Manshahar mengenai program latihan saya.
“Lagi satu, Cikgu Linda sekarang melatih dua atlet lompat bergalah di Pahang, sedangkan saya di sini (Bukit Jalil). Isu lokasi akan jadi masalah untuk saya.
“Sebenarnya saya masih berharap dapat berlatih dengan Cikgu Manshahar sebab dia tahu kelemahan dan kekuatan saya. Macam yang kita tahu, dialah yang membantu saya meraih emas Sukan SEA tahun lalu.
“Bagi saya, Cikgu Manshahar sangat mahir dalam teknikal dan tegurannya yang tepat membantu saya baiki kekurangan.
“Sekarang mereka beritahu saya untuk fokus kepada acara lari (100m) tetapi saya masih nak bertanding dalam lompat bergalah sebenarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada hujung tahun lalu, Manshahar mengumumkan persaraan sebagai ketua jurulatih kebangsaan yang disandang sejak 2019, namun beliau tetap bersedia untuk terus melatih Nor Sarah.
Antara sumbangan besarnya adalah membantu Roslinda meraih empat emas Sukan SEA dan perak Sukan Asia 2006.