PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah proaktif untuk membentuk satu panel penasihat teknikal terdiri daripada tujuh bekas pemain dan tujuh lagi pegawai eksekutif sukan untuk membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.
Antara yang dijemput untuk membarisi panel ini adalah pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei, bekas perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock, bekas beregu lelaki No. 1 Dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Datuk Seri Jalani Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit untuk melengkapkan senarai bekas pemain.
Ketujuh legenda negara ini akan bekerjasama dengan tujuh lagi panel yang akan dipengerusikan Presiden BAM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, dan dibantu dibantu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, Naib Presiden BAM, Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong, serta bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz.
Panel Penasihat Teknikal ini akan berkhidmat secara pro-bono akan memberikan nasihat dan bimbingan strategik kepada pihak Lembaga dan Pengurusan Akademi Badminton Malaysia (ABM) bertujuan untuk meningkatkan prestasi barisan pemain negara dalam jangka masa panjang, dalam usaha meraih kedudukan podium di peringkat Sukan Olimpik, sukan temasya serta kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Panel ini dijangka akan bersidang setiap tiga bulan untuk menilai prestasi pemain dan jurulatih dan akan memberikan usulan dalam membuat perubahan terhadap program latihan, polisi, dan penyertaan kejohanan kepada Lembaga dan Pengurus ABM.
Panel ini dijangka akan bersidang buat kali pertama pada penghujung Februari 2023.