LONDON: Chelsea akhirnya mendapatkan pemain dambaan mereka, Enzo Fernandez pada hari terakhir jendela perpindahan Januari dengan rekod tertinggi Liga Perdana Inggeris – 107 juta pound (RM563 juta).
Itu bermakna, kelab London tersebut telah membelanjakan 323 juta pound (RM1.7 bilion) keseluruhan pada pasaran perpindahan bulan lalu.
Sejak membeli Blues pada Mei tahun lalu, konsortium diketuai Todd Boehly sudah berbelanja 600 juta pound (RM 3.15 bilion).
Benfica pada mulanya menolak tawaran Chelsea, namun kelab Portugal itu mencapai persetujuan beberapa minit sebelum perpindahan ditutup semalam.
Fernandez, 22, yang membantu Argentina muncul juara Piala Dunia 2022, malah dinobat sebagai Pemain Muda Terbaik, diikat lapan tahun sehingga Jun 2031.
Boehly berharap, kemasukan bintang-bintang mahal akan merubah nasib Chelsea yang terperosok ke kedudukan ke-10 Liga Perdana Inggeris.
Chelsea sebelum itu mengeluarkan bayaran besar untuk membeli Mykhaylo Mudryk dari Shakhtar Donetsk dengan harga 89 juta pound (RM467.70).
Mereka juga membeli Benoit Badiashile dari Monaco – 32.76 juta pound (RM172.15 juta) dan Malo Gusto dari Lyon pada harga 26.3 juta pound (RM138.21 juta)
Sementara itu di Old Trafford, pengurus pasukan, Erik ten Hag membuat kejutan membawa masuk pemain tengah Bayern Munich, Marcel Sabitzer secara pinjaman.
Pemain berusia 28 tahun itu bukan sahaja mampu beraksi di posisi tengah, malah berkebolehan membantu serangan.
United terdesak untuk mencari pengganti Christian Eriksen yang mengalami kecederaan serius buku lali.
“Kadangkala dalam kehidupan anda perlu membuat keputusan penting dengan cepat, sejak saya tahu mengenai tawaran ini, saya sedar ia peluang yang tepat buat diri saya,” kata Sabitzer. – AGENSI