PETALING JAYA: Momentum yang ditunjukkan Azeem Fahmi dengan memecah rekod 60 meter (m) kebangsaan buat kali kedua dalam tempoh dua minggu menunjukkan dia di landasan untuk bergelar atlet Malaysia pertama melakar sejarah mencatat masa bawah 10 saat (s) dalam saingan 100m.
Keyakinan itu disuarakan bekas jaguh pecut negara yang juga juara 100 dan 200m Sukan SEA 2003, Nazmizan Muhammad selepas melihat pelari berusia 18 tahun itu mencatat kepantasan 6.62s dalam acara 60m pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina semalam.
Biarpun hanya menamatkan perlumbaan akhir di tangga kelima, namun catatan Azeem yang mewakili Universiti Auburn membolehkan pelari kelahiran Perak itu memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri 6.63s yang dilakukan dalam Terbuka Texas Tech & Multi di Texas, dua minggu lalu.
Azeem sebelum itu memecah rekod kebangsaan selama 24 tahun yang dimiliki oleh Watson Nyambek (6.66s) yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999 dan kejayaan itu menjadi bualan dan harapan untuk menyaksikan dia mencatatkan masa lebih baik.
“Satu pencapaian baik apabila dia berjaya pecah rekod lagi dan Azeem berada di landasan tepat untuk jadi atlet pertama negara berlari bawah 10s bagi acara 100m. Kita boleh rasakan masanya akan tiba berdasarkan kejayaannya dalam acara 60m.
“Sekarang kita tunggu dan lihat untuk acara 100m pertamanya pula di luar negara…Berdasarkan apa yang dia lakukan sekarang, saya rasa tidak mustahil untuk dia catatkan masa terbaik untuk acara kegemarannya selepas ini.
“Azeem juga konsisten dalam dua kejohanan berturut-turut, ini menunjukkan dia sentiasa memperbaiki masa. Kita perlu percayakan proses dan saya yakin dia mampu untuk lakukan dengan bimbingan jurulatih dan pasukan yang hebat,” kata Nazmizan kepada Mingguan Malaysia.
Nama Azeem menjadi sebutan peminat sukan tempatan selepas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m dengan catatan 10.09s ketika mengungguli saringan lapan pusingan kelayakan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia tahun lalu.
Sementara itu, Azeem gembira dengan prestasi yang ditunjukkan biarpun baru dua kali beraksi dalam kejohanan dalam dewan dan acara 60m yang serba asing buatnya.
“Alhamdulillah minggu yang hebat bersama orang yang hebat dan bersyukur untuk satu lagi rekod baharu buat Malaysia. Juara tidak lama lagi,” tulis Azeem di Twitter.
Selain itu, ketika membalas pertanyaan seorang peminatnya yang ingin tahu bila dia akan bertanding acara 100m, Azeem berkata, dia akan menyertai acara 100m pada hujung bulan hadapan.