KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menaruh harapan jaguh pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi mampu untuk menyumbang pingat emas di pentas Olimpik satu hari nanti.
Hannah berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasinya Azeem ketika ini yang sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 60 meter (m) dalam dewan semalam selain dia juga berbangga dengan aksi yang ditampilkan atlet dari Ipoh, Perak itu.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian berkenaan. Azeem adalah bintang meningkat naik dan diharapkan suatu hari nanti, dia boleh memberikan kita pingat emas di Sukan Olimpik,” kata Hannah ketika ditemui di Kejohanan Trek dan Balapan Kebangsaan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil semalam.
Sebelum ini, Azeem yang mewakili Universiti Aurburn terus menampilkan prestasi yang memberansangkan apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 6.62 saat (s) ketika menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina.
Dalam perkembangan lain, Hannah, berkata pihaknya kini sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan yang mencukupi menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.
Katanya, ia bagi memastikan lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan untuk atlet negara seperti mana yang dilakukan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
“Hari ini saya datang untuk melihat sendiri kejohanan ini. Ini adalah sesuatu yang kita perlukan, apabila lebih banyak kejohanan dianjurkan, ia boleh membantu kita mengenal pasti bakat-bakat baharu.
“Selain itu, atlet juga boleh menilai prestasi dan memperbaiki ranking mereka. Ini adalah sesuatu yang saya sedang usahakan menjelang bajet kali ini. Untuk pastikan, kita sentiasa mempunyai peruntukkan yang cukup untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan.
“Ketika sesi ‘townhall’ bersama atlet, inilah yang mereka perkatakan, mereka hanya mahukan lebih banyak kejohanan untuk memperbaiki ranking mereka,” kata Hannah.