KUALA LUMPUR: Keputusan jaguh No. 2 dunia, Lee Zii Jia untuk bergerak solo tanpa sokongan jurulatih buat masa ini telah mencetuskan pelbagai persepsi dalam kalangan pemerhati dan peminat badminton tanah air.
Zii Jia yang terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia iaitu kejohanan yang kini telah dinaikkan taraf kepada Super 1,000 telah meninggalkan pelbagai persoalan kepada peminat yang mahu pemain kesayangan Malaysia itu kembali memiliki jurulatih dan bangkit daripada kemerosotan yang dialaminya.
Ketika isu tersebut diajukan kepada bekas jurulatihnya yang merupakan pengendali perseorangan lelaki skuad kebangsaan, Hendrawan yang pada awalnya keberatan untuk melontarkan pendapat akhirnya berkata, beliau percaya Zii Jia lebih tahu apa yang dia sedang lakukan untuk kariernya.
“Semestinya saya tak ada kapasiti untuk menjawab soalan ini. Bagi saya biarkan Zii Jia memilih apa yang terbaik, kita bagi kesempatan Zii Jia untuk memilih, tak mengapa kerana apa pun yang dia pilih, saya percaya dia sudah memikirkan yang terbaik.
“Tetapi ini proses belajar untuk Zii Jia, saya rasa dia harus mengerti betul-betul. Saya percaya dia sudah memikirkan apa yang dia buat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Axiata Arena, kelmarin.
Rabu lalu, Zii Jia tumpas kepada pemain No. 7 dunia dari Jepun, Kodai Naraoka 21-13, 17-21, 19-21 pada pusingan pertama.
Hendrawan yang pernah dinobatkan sebagai juara dunia pada 2001 memberitahu, Zii Jia seorang anak muda yang tegas pendiriannya dan jika pemain itu telah membulatkan tekadnya, maka, tiada siapa yang boleh mengubah keadaan tersebut.
“Ada buruk dan baiknya, yang buruk bahawa dia mengambil sesuatu (keputusan) dia sukar ubah keputusan, ada (sesetangah) orang yang berfikir sesuatu, fikir dulu baik dan buruknya, tetapi dia ada keberanian dan hasilnya sekurang-kurangnya dia berani buat keputusan.
“Ini satu proses untuk Zii Jia juga, apa pun perjalanan yang dia akan lalui, saya percaya dia akan lebih matang,” ujarnya.