MANCHESTER: Manchester United melengkapkan pinjaman pemain antarabangsa Belanda, Wout Weghorst bagi baki musim ini untuk menguatkan bahagian serangan skuad kendalian Erik Ten Hag.
Pemain berumur 30 tahun itu dipinjamkan ke Besiktas dari Burnley, tetapi gergasi Turkiye itu mengumumkan bahawa mereka menerima 2.8 juta Euro (RM13.17 juta) untuk menamatkan perjanjian berkenaan.
Ketika ini, barisan hadapan United kelihatan tumpul selain The Red Devil juga kekurangan pemain penyerang selepas kontrak Cristiano Ronaldo di Old Trafford ditamatkan pada November lalu.
Weghorst menyertai Burnley dari Wolfsburg pada Januari 2022 tetapi kurang menyerlah apabila hanya menjaringkan dua gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika skuad Clarets tersingkir musim lalu.
Bagaimanapun dia meledak sembilan kali dalam 18 perlawanan bersama Besiktas dan menjaringkan dua gol bersama Belanda ketika suku akhir Piala Dunia menentang juara dunia Argentina bulan lalu.
“Saya rasa bangga menyertai Manchester United.
“Saya melihat peningkatan United di bawah Ten Hag musim ini dan saya tidak sabar untuk memainkan peranan membantu kelab mencapai sasaran.” kata Weghorst dalam satu kenyataan di kelab itu.
Bagaimanapun, Weghorst tidak dapat didaftarkan mengikut masa ditetapkan bagi membolehkan dia beraksi menentang Manchester City.-Agensi