MANCHESTER: Erik ten Hag mahu Casemiro dan Fred menunjukkan kelakuan terbaik apabila Manchester United menentang Crystal Palace esok atau berisiko terlepas pertembungan besar dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, Ahad ini.
Casemiro muncul pemain terbaik United sejak tiba di Old Trafford pada musim panas lalu.
Selain mempamer pertahanan kental, bek tengah Brazil itu juga telah menjaringkan dua gol dan empat umpanan.
Fred pula sering digilirkan oleh Ten Hag, dan hanya memulakan sembilan daripada 23 perlawanan sepanjang musim ini, di mana lima daripadanya dalam Liga Perdana.
Bagaimanapun dia beraksi cemerlang ketika senaraikan dalam kesebelasan utama buat lali pertama sejak Oktober lalu ketika United melakar kemenangan sensasi 2-1 ke atas Manchester City, Sabtu lalu.
Seperti Casemiro, dia bermain selama 90 minit buat kali ketiga musim ini. Kedua-dua pemain memainkan peranan penting untuk membawa United kembali ke kelompok empat terbaik.
Begitupun, gandingan Brazil itu masing-masing menerima kad kuning dalam perlawanan tersebut, bermakna mereka telah mengumpul empat kad kuning keseluruhan musim ini.
Peraturan pertandingan menyatakan pemain yang menerima lima kad kuning dalam 19 perlawanan pertama akan digantung satu perlawanan.
United telah bermain 18 kali, jadi jika Casemiro atau Fred dilayangkan kad kuning di Selhurst Park, mereka akan terlepas lawatan ke Emirates.
Arsenal kini sembilan mata di depan United, namun Red Devils akan merapatkan jurang jika menumpaskan Palace esok.
Kemenangan ke atas Gunners pula membolehkan anak-anak buah Ten Hag merapati pendahulu dengan tiga mata. – AGENSI