BHUBANESWAR: Selepas gagal melangkah ke suku akhir, menamatkan kempen hoki Piala Dunia 2023 pada kedudukan terbaik dalam klasifikasi kesembilan hingga 16 yang bermula di Rourkela esok amat penting buat Malaysia.
Tiga negara dalam ranking 10 terbaik dunia seperti India (No.6), Argentina (No.7) dan Malaysia (No.10) pastinya memburu penamat terbaik bagi mengelak menghuni kedudukan empat tercorot daripada 16 pasukan.
Ia bukan mudah kerana lawan dalam pusingan klasifikasi kali ini juga mempunyai kemampuan tersendiri seperti Perancis (No.12), Wales (No.14), Afrika Selatan (No.15), Jepun (No.18) dan Chile (No.23).
Atas kertas, Malaysia sepatutnya tiada masalah untuk menewaskan Afrika Selatan di Stadium Hoki Birsa Munda esok untuk meloloskan diri ke penentuan tempat kesembilan hingga 12.
Ia berdasarkan rekod pertemuan yang memihak Speedy Tigers dengan empat kemenangan daripada lapan aksi menentang Afrika Selatan termasuk pesta gol 7-2 di Piala Sultan Azlan Shah hujung tahun lalu.
Jika menang, mereka akan berdepan pemenang di antara India atau Jepun, perlawanan yang tidak mudah, namun penting buat Malaysia bagi memastikan kedudukan 10 terbaik ranking dunia dapat dikekalkan apabila pulang ke tanah air.
Ketua jurulatih Malaysia, A. Arul Selvaraj percaya barisan pemainnya akan bangkit daripada kekecewaan tewas 3-4 kepada Sepanyol menerusi penentuan shoot-out selepas terikat 2-2 di Stadium Kalinga baru-baru ini
“Pemain telah tunjukkan sesuatu yang boleh dibanggakan di Piala Dunia ini. Kecewa tetap kecewa tetapi mereka tewas dengan persembahan yang bermaruah.
“Kami perlu habiskan kejohanan di kedudukan tertinggi untuk menjamin kelompok ranking 10 terbaik dunia. Harap semua di Malaysia akan terus berikan sokongan kepada para pemain,” katanya.
Menariknya, Malaysia dijangka bertemu tuan rumah, India dalam penentuan tempat kesembilan hingga 12 yang dianggap sebagai mini ‘final Sukan Asia’ pada Sabtu ini.
India yang masih terluka gagal ke suku akhir gara-gara tewas mengejut kepada New Zealand, dilihat tiada masalah mencatat kemenangan ke atas Jepun dalam aksi klasifikasi esok.