Tang Jie-Ee Wei tempoh slot suku akhir, Tze Yong terkandas

Tang Jie-Ee Wei tempoh slot suku akhir, Tze Yong terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan No. 12 dunia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, sebentar tadi.

Gandingan yang baharu dua bulan beraksi bersama itu dan hanya menghuni ranking ke-147 dunia mengejutkan pencabar dari Indonesia tersebut menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-16 dalam masa 46 minit pada pusingan kedua.
Ketika ditemui pemberita, Tang Jie berkata, kemenangan yang dicatat mereka banyak dibantu oleh jurulatih, Nova Widianto yang baharu sahaja menyertai skuad kebangsaan.

“Jurulatih sanggup datang awal membantu persiapan kami, sedangkan dia hanya patut datang pada Januari.

“Sebelum bertemu pasangan Indonesia ini, dia memang ada bagi tahu kami agar bersabar ketika bermain kerana mereka merupakan beregu yang sangat konsisten dan memiliki pukulan yang mantap serta jangan tergesa-gesa ketika hendak mengutip mata,” katanya.

Mengulas mengenai beregu No. 3 dunia, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang bakal mereka temui pada suku akhir, esok, pemain berusia 25 tahun itu menjelaskan, gandingan Thailand itu merupakan lawan yang handal dan sering mempamerkan persembahan konsisten.

“Untuk perlawanan esok, kami perlu beri 130 peratus menentang beregu Thailand itu. Dia pun tahu saya punya kekuatan dan kelemahan, cuma Ee Wei yang bakal menjadi senjata kami kerana pasangan Thailand itu tidak pernah bermain dengan dia,” ujarnya.

Ee Wei pula memberitahu, peluang bermain di hadapan penyokong sendiri dalam sebuah kejohanan besar seperti Terbuka Malaysia tidak selalu mereka perolehi.

“Jadi inilah peluang kami untuk bermain sebaik mungkin, sokongan peminat banyak memberi motivasi kepada kami untuk memburu kemenangan,” ujarnya.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pencabar dari Jepun yang menghuni ranking No. 7 dunia, Kodai Naraoka 21-15, 19-21, 15-21.

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong ketika menentang pemain Jepun, Kodai Naraoka pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

Tze Yong ketika ditemui pemberita mengakui pengalaman menjadi pemisah antara dirinya dan Naraoka yang mendapat pendedahan lebih banyak dalam pertandingan besar.

“Bagi saya perlawanan ini merupakan satu proses pembelajaran apabila berpeluang bertemu pemain yang menghuni ranking lebih tinggi seperti Naraoka” katanya.

Menurut pemain berusia 23 tahun itu, kesilapan mudah yang dilakukannya telah membuka ruang kepada lawan untuk mengutip mata demi mata.

Dalam pada itu, jurulatih perseorangan lelaki Malaysia, Hendrawan ketika ditemui pula menjelaskan, kekalahan tersebut memberi satu pengajaran yang amat berguna kepada anak didiknya itu.

“Jika kita saksikan corak permainan Tze Yong dengan Naraoka, memang ada jurang perbezaan. Bagi saya, ini merupakan satu pelajaran buat Tze Yong untuk menjadi pemain yang lebih bagus,” katanya.

Beliau memberitahu, Tze Yong bukanlah seorang pemain yang memiliki bakat semula jadi, tetapi sebaliknya dia perlu bekerja keras untuk bergelar bintang handalan dunia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya