KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei memberikan tentangan sengit terhadap pasangan No. 3 Dunia, Dechapol Puavaranukroh – Sapsiree Taerattanachai dalam aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Tang Jie dan Ee Wei yang baru sahaja digandingkan sejak dua bulan, dan diletakkan di bawah kendalian jurulatih baharu, Nova Widianto menampilkan aksi terpuji apabila memberikan kesukaran buat pasangan Thailand itu.
Bagaimanapun kekurangan pengalaman menjadi pemisah apabila Puavaranukroh dan Taerattanachai berjaya mencari ruang untuk memperoleh mata bagi memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik mereka dengan kemenangan 19-21, 9-21.
“Saya rasa semua perlawanan memang kami rasa gemuruh sebab kita nak menang, sebab kami rasa ada harapan.
“Tetapi hari ini memang kami tidak berjaya menampilkan kekuatan sebenar kami, saya tahu kekuatan mereka di mana, tetapi tidak berjaya mengatasinya,” jelas Tang Jie.
Kekalahan ini bermakna cabaran Malaysia dalam saingan beregu campuran di kejohanan sudah pun berakhir biarpun skuad negara mempunyai lima wakil dalam acara ini.
Malaysia masih mempunyai satu lagi wakil yang akan turun hari ini iaitu beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin yang akan turun menentang pasangan Indonesia, Fajar Alfian dan Rian Ardianto sebentar lagi.