ROURKELA: Malaysia menutup tirai hoki Piala Dunia 2023 dengan kemenangan 3-2 ke atas Jepun dalam klasifikasi tempat ke-13 hingga 16 di Stadium Hoki Birsa Munda, sebentar tadi.
Barisan pemain Speedy Tigers tidak perlu kecewa mengakhiri kedudukan di tempat ke-13 kerana mereka telah menunjukkan persembahan yang memberangsangkan sepanjang tiga minggu berada di bumi India.
Mereka berjaya menundukkan Chile serta New Zealand untuk muncul naib juara Kumpulan C sehingga melonjakkan ranking Malaysia ke tempat kesembilan dunia berbanding No.11 sebelum bermulanya kejohanan.
Walaupun gagal mencapai sasaran mara ke suku akhir dan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia tetapi persembahan ke atas Jepun jelas menunjukkan kualiti yang sebenar dimiliki Speedy Tigers.
Malaysia bermula dengan baik apabila menjaringkan gol pertama menerusi variasi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Shello Silverius pada minit kelapan.
Kecemerlangan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman tidak bertahan lama apabila Jepun berjaya menjaringkan dua gol menerusi Kaito Tanaka dan Seren Tanaka pada minit ke-24 serta 32.
Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol kedua peribadi Shello pada minit ke-32 sebelum Shahmie Irfan Suhaimi merakam jaringan pertamanya di pentas antarabangsa dua minit kemudian.
Pujian harus diberikan kepada para pemain kerana berjaya menghalang Jepun meraih jaringan penyamaan biarpun pihak lawan memiliki tujuh pukulan sudut penalti sepanjang perlawanan. – UTUSAN ONLINE