PETALING JAYA: Skuad Malaysia Tigers menerima berita gembira dalam persiapan menjelang Piala Dunia 2023 selepas tiga tonggak yang berdepan kecederaan kembali bersama pasukan dalam sesi latihan.
Pengendali skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj berkata, penyerang negara, Shello Selverius sudah kembali memegang kayu hoki dalam pemulihan tangan kirinya yang perlu memakai pendakap.
Selain itu katanya, ketua pasukan, Marhan Jalil, dan seorang lagi penyerang, Shahril Saabah, turun menjalani bersama pasukan utama sebelum mereka bertolak ke Bhusbanewar dan Rourkela pada pagi Jumaat ini.
“Pemain utama ini meskipun tidak memegang kayu hoki, mereka sebenarnya telah menjalani program masing-masing seperti di gimnasium dan larian.
“Cuma yang menjalani latihan hoki pada minggu lalu melibatkan beberapa pemain sahaja, jadi secara rasminya, kini kami semua berkumpul semula.
“Shello hanya pegang sekejap kayu hoki hari ini (semalam) kemudian berlatih bersama pasukan perubatan. Dia sudah bersedia tapi kami tidak mahu terburu-buru kerana masih ada 11 hari lagi sebelum perlawanan pertama,” katanya.
Shello yang merupakan penyerang muda meningkat naik skuad hoki negara berdepan kecederaan pada tangan kiri ketika membantu Malaysia Tigers dalam Kejohanan Piala Negara-Negara.
Shello berada di kemuncak prestasi selepas muncul antara tonggak utama skuad kebangsaan ketika menjulang kejuaraan sulung Piala Sultan Azlan Shah dan diangkat selaku pemain terbaik kejohanan.
Mengulas mengenai persiapan skuad negara, Arul berkata, latihan pasukan lebih menjurus kepada taktikal dan lebih fokus persiapan kepada perlawanan awal menentang Belanda dan Chile.
“Kami fokus kepada corak serangan dan pertahanan pukulan sudut penalti bagi memfokuskan perlawanan berdepan Chile. Latihan seterusnya akan tertumpu kepada menghadapi Belanda pula,” katanya.
Piala Dunia 2023 akan berlangsung pada 13 hingga 29 Januari ini dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama pasukan No. 3 dunia, Belanda, New Zealand serta pasukan yang akan membuat penampilan sulung pada kejohanan ini, Chile.