ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan ke Antalya, Turkiye selama 10 hari untuk berdepan empat kelab bola sepak dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine dalam usaha memantapkan pasukan menjadi antara pasukan yang mampu memberi cabaran.
Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pasukan itu akan berdepan FC Nasaf yang bermain dalam Liga Premier Uzbekistan pada 9 Februari, disusuli FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan keesokan harinya.
Selepas itu, pasukan bimbingan Nafuzi Zain akan membuat perhitungan dengan sebuah lagi kelab yang bermain dalam Liga Premier Kazakhstan, FK Maqtaraal sebelum mengakhiri siri jelajah dengan menentang FC Metalist Kharkiv dari Ukraine pada 14 Februari.
“Semua perlawanan akan berlangsung pukul 5 petang waktu Turkiye (10 malam waktu Malaysia) di Pusat Sukan Limak, Antalya. Untuk semua perlawanan itu, kami merancang untuk mengadakan siaran langsung dalam talian secara ‘pay per view’.
“Saya berharap peluang ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk mempersiap pasukan bagi menghadapi musim depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Ditanya mengapa Turkiye menjadi destinasi pilihan, tokoh kewangan Islam itu menjelaskan, negara itu sememangnya menjadi hab persinggahan pemain dan pasukan dari seluruh dunia setiap kali pra musim.
“Banyak pasukan dari seluruh dunia akan berada di tempat dan masa sama di Turkiye setiap kali pra musim. Jadi, kami merasakan negara itu merupakan lokasi tepat untuk dituju bagi memantapkan kemahiran, teknikal dan sebagainya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ESM Internationale Sdn. Bhd., Mohd. Faizal Othman yang menguruskan perlawanan di Turkiye berkata, sepanjang Januari dan Februari dianggarkan terdapat hampir 300 pasukan dari seluruh dunia berkumpul di negara tersebut.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Daud menyifatkan penyokong menjadi aset termahal Kedah ketika ini setelah keterujaan mereka nampak meyakinkan dalam aksi persahabatan termasuk 16,000 tiket terjual ketika menentang TRW Kelantan di Stadium Darul Aman.
“Terus terang saya katakan bahawa kekuatan pasukan ini adalah penyokongnya. Itu aset paling mahal buat pasukan dan merekalah pendorong saya untuk membeli Kedah kerana kekuatan, keterujaan dan ‘kegilaan’ yang ada pada penyokong.
“Ini sebenarnya ‘DNA’ Kedah dan penyokong kita ini ibarat minyak kepada kepada pelita. Walaupun pelita itu cantik dan sumbunya kuat, tanpa minyak takkan mungkin ada cahaya yang terhasil,” ujarnya.-UTUSAN