PETALING JAYA: Malaysia memiliki rekod baik dalam beberapa perlawanan menentang Thailand sejak kebelakangan ini.
Begitupun, kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid tidak menganggap rekod sebagai kelebihan buat Malaysia menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Pemain Johor Darul Ta’zim itu (JDT) itu sebaliknya menyeru rakan sepasukannya berkerja lebih keras apabila melayan kunjungan skuad Gajah Perang.
Tidak menolak rekod dicatat itu memberi suntikan semangat kepada pemain tetapi apa yang dipertontonkan pada hari perlawanan lebih mustahak.
“Pada 2018 kita menang pun sebab mereka (Thailand) terlepas sepakan penalti. Saya dan rakan sepasukan akan berusaha lebih keras untuk berdepan Thailand bagi membawa bekal sebelum aksi kedua di Bangkok.
“Saya percaya rakan sepasukan sudah bersedia dan kita akan mengikuti semua taktikal yang dirancang barisan kejurulatihan. Kita akan pergi all out untuk layak ke final,” katanya yang bakal berhijrah ke Ratchaburi FC itu, musim depan.
Malaysia berjaya mengatasi Thailand dengan kelebihan gol di tempat lawan selepas 0-0 dan 2-2 di Bangkok pada perlawanan separuh akhir edisi 2018, namun tewas kepada Vietnam di pentas final.
Harimau Malaya menang 2-1 dan 1-0 pada peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Pertembungan terbaharu melibatkan kedua-dua pasukan juga terus memihak kepada pasukan kebangsaan apabila mengecewakan Thailand di saingan Piala Raja Thai dengan kemenangan menerusi penentuan penalti 5-3 selepas seri 1-1, September lalu.
Masih segar dengan kejayaan menundukkan Singapura 4-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Malaysia yang mara sebagai naib juara Kumpulan B mahu mengulangi persembahan sama apabila melayan kunjungan Thailand.
Selepas perlawanan di Bukit Jalil, skuad kebangsaan akan berlepas ke Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Selasa depan.