LONDON: Biarpun dilihat seperti sudah menuju ke penghujung karier di usia yang menginjak 38 tahun pada 5 Februari ini, namun Cristiano Ronaldo nyata masih mempunyai pengaruh besar.
Jumaat lalu, kelab Arab Saudi, All Nassr mengumumkan kapten Portugal itu sebagai anggota baharu pasukan dengan perjanjian bernilai lebih 200 juta euro (RM940.27 juta).
Ronaldo dijangka kekal bersama gergasi Arab Saudi itu sehingga Jun 2025, malah mungkin lebih lama daripada itu dengan memainkan peranan berbeza apabila kontraknya sebagai pemain tamat.
Tidak lama selepas pengumuman tersebut, Al Nassr mendapat tempahan yang banyak untuk jersi No. 7 Ronaldo.
Tidak sekadar itu, Instagram mereka yang sebelum ini hanya mempunyai 884,000 pengikut melonjak kepada 6.1 juta hanya dalam masa tiga hari.
Nyata, Ronaldo yang ditamatkan kontrak oleh Manchester United, November lalu masih mempunyai ‘kuasa’ komersial yang mampu menguntungkan mana-mana kelab yang disertai.
“Saya tidak sabar hendak meneroka liga bola sepak baharu di negara berbeza,” kata bekas bintang Real Madrid, Juventus dan United itu ketika diperkenalkan oleh Al Nassr. – AGENSI