SHAH ALAM: Selain bakal menguji kekuatan dalam dua perlawanan pramusim di Thailand, Selangor FC turut memperkenalkan bekas penjaring terbanyak Liga Colombia, Ayron Del Valle sebagai penggempur baharu mereka bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2023.
Aryon, 34, menjadi import ketiga Red Giants musim ini, dan dia akan dibawa bersama untuk mengharungi dua perlawanan persahabatan di Bangkok, menentang Ratchaburi FC dan PT Prachuap.
Memulakan karier profesional bersama Expreso Rojo sejak berusia 18 tahun, Aryon beraksi dalam Liga Colombia selama 13 tahun sejak 2007 sehingga 2019.
Antara pencapaian terhebatnya adalah muncul penjaring terbanyak Liga Dimayor selama tiga musim berturut-turut. bersama Deportes Tolima (2014-2015) dia meledak 30 gol, selain menjaringkan 12 gol buat Alianza Petrol (2015-2016) dan 11 untuk CD America de Cali pada 2016-2017.
Sepanjang kariernya, dia telah menjaringkan 157 gol, di mana140 daripadanya dalam Liga Colombia dan tujuh di Liga Mexico. Sebelas gol diledak dalam pertandingan piala (sembilan di Colombia dan dua di Mexico) serta empat gol dalam Copa Libertadores dan dua gol dalam Conmebol Sudamericana.
Ayron juga memenangi kejuaraan Liga Primera A pada 2017 dan kejuaraan Superliga pada 2018, selain naib juara Primera A pada 2011 dan 2012, Copa Colombia 2012 dan Cuadrangular Bogota pada 2020.
Ketua Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe percaya, pengalaman Ayron akan membantu pasukan mencapai matlamat musim ini.
“Ayron seorang penyerang yang boleh menjaringkan gol dari pelbagai posisi dan sudut. Dari segi pengalaman Liga Colombia, dia amat menyerlah. Kami berharap dia akan memikul tanggungjawab sebagai penyudah terbaik pasukan musim ini.
“Semoga , dia dapat cepat menyesuaikan diri dan menyumbang kepada pasukan dengan segala pengalaman yang dimiliki,” kata Cheng Hong dalam sesi memperkenalkan pemain dan jersi baharu Selangor FC di SACC Mall, Shah Alam hari ini.
Sementara itu, Aryon berkata, dia sudah tidak sabar untuk menyarung jersi Selangor dan membuktikan kemampuannya dalam Liga Malaysia.
“Pada mulanya, saya tidak pasti sama ada mahu menerima tawaran ini tetapi selepas mengetahui lebih lanjut mengenai Selangor FC, saya menyedari bahawa ini adalah peluang dan cabaran terbaik untuk saya hadapi dan membantu pasukan memenangi trofi musim ini.
“Saya juga sempat untuk bercakap dengan pengurusan dan jurulatih kelab sebelum membuat keputusan, dan saya percaya rancangan mereka telah menarik minat saya untuk datang ke sini,” katanya. – UTUSAN ONLINE