Mohd Faiz lahirkan ramai atlet angkat berat Perlis - Utusan Malaysia

Mohd Faiz lahirkan ramai atlet angkat berat Perlis

MOHD. Faiz Musa melatih anak didiknya dalam sukan angkat berat di Dewan Angkat Berat negeri di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Minat yang amat mendalam terhadap sukan angkat berat telah menjadi titik tolak buat Mohd Faiz Musa, 44, untuk terus terlibat secara aktif dalam kancah sukan berkenaan.

Walaupun pernah mengharumkan nama negara dalam sukan angkat berat menerusi beberapa temasya sukan dunia sebelum ini, namun anak kelahiran Bintong itu masih belum puas dengan pencapaiannya seterusnya mengambil keputusan bergiat aktif menceburi bidang kejurulatihan.

Menariknya, pendekatan yang digunakan Mohd Faiz dengan turun ke sekolah-sekolah di sekitar Perlis bagi melakukan pencarian bakat-bakat baharu itu telah berjaya melahirkan ramai atlet pelapis berpotensi besar buat negeri ini.

Malah, atlet-atlet dibawah bimbingan beliau juga telah mengharumkan nama negeri dan negara menerusi penyertaan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Mohd Faiz yang merupakan ketua jurulatih angkat berat Perlis berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Jabatan Pendidikan negeri bagi melakukan pencarian bakat baharu sukan itu sejak di peringkat akar umbi.

“Pencarian bakat di peringkat sekolah ini berjaya membuahkan hasil apabila sewaktu Sukan Malaysia (Sukma) Pahang 2012 dan Sukma Perlis 2014, atlet kami telah membawa pulang tiga pingat emas. Manakala bagi Sukma Sarawak 2016 pula, kami memenangi satu emas.

“Malah, kami juga berjaya melahirkan seorang atlet angkat berat wanita bagi mewakili negara sewaktu Youth Olympic di Singapura pada pada 2010,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

MOHD. Faiz Musa memberi penerangan kepada anak didiknya dalam sukan angkat berat di Dewan Angkat Berat negeri di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Faiz berkata, kebanyakan bakat-bakat baharu yang digilapnya turut dibawa menjalani latihan di luar negara seperti Thailand dan Indonesia sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memberi pendedahan kepada mereka.

Pemenang pingat Perak kategori 94 kilogram pada temasya Sukan Sea Laos 2009 itu turut memaklumkan dia kini aktif melatih 30 orang atlet sukan angkat berat berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun bagi mewakili Perlis dalam beberapa kejohanan termasuk Sukma.

“Pada tahun ini juga, kita lebih bersemangat memandangkan atlet angkat berat Perlis mempunyai kemudahan dewan latihan baharu dengan penyediaan fasiliti yang lebih lengkap.

“Ini akan menjadi pendorong bagi saya melahirkan lebih ramai atlet pelapis angkat berat sekali gus mencapai sasaran peribadi untuk memastikan Perlis memenangi 10 pingat emas pada temasya Sukma akan datang,” katanya.

Tambah Mohd Faiz, pihaknya turut mengalu-alukan penglibatan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun yang berminat menceburi diri dalam sukan angkat berat untuk menjadi pelapis buat negeri ini.

“Nasihat saya buat adik-adik di luar sana yang berminat boleh datang terus ke dewan latihan kami pada hari Isnin hingga Jumaat, pukul 5.30 hingga 7.30 petang bagi bersama-sama mendalami sukan ini secara serius,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya