PETALING JAYA: Tiga penembak kebangsaan, Jonathan Wong (10 meter air pistol), Alia Sazana Azahari (25 air pistol) serta Nurul Syasya Nadiah Arrifin (10 meter air pistol) menerima berita baik dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris apabila dikekalkan dalam Program Podium sehingga tamat temasya berkenaan.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari bagaimanapun berkata, tiada sebarang penambahan buat atlet menembak dalam program tersebut.
Katanya, NSAM juga akan memperkemaskan kembali perancangan mereka untuk memastikan penembak negara dapat layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit.
Pada edisi terakhir di Tokyo, NSAM terpaksa menanti sehingga saat akhir apabila Nur Suryani Taibi meraih tiket wildcard untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu dalam acara 50 meter rifle 3 posisi wanita biarpun pada awalnya permohonan badan induk itu mendapatkan slot ke Sukan Olimpik ditolak Persekutuan Sukan Menembak Sukan Antarabangsa (ISSF).
Kata Jasni, mereka akan menghantar penembak negara untuk menyertai semua enam siri Piala Dunia tahun ini, memandangkan sebanyak dua kuota diperuntukkan bagi setiap kejohanan, selain empat kuota pula daripada Kejohanan Dunia di Baku Azerbaijan pada Ogos selain tambahan dua lagi kuota untuk Kejohanan Asia di Changwon, Korea Selatan pada Oktober.
“Kita kena akan cuba untuk layak ke Sukan Olimpik kali ini menerusi merit, dan untuk itu kita kena cuba mendapatkan tempat menerusi kuota yang diperuntukkan dalam beberapa kejohanan antara Piala Dunia, Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia.
“Format untuk kali ini berubah sedikit memandangkan ada pertambahan kuota untuk kejohanan dunia, begitu juga dua kuota untuk setiap kali Piala Dunia, tak mudah tetapi masih boleh diusahakan, bagaimanapun atlet juga mesti berusaha untuk mendapatkan keputusan terbaik,” jelas Jasni yang ditemui pemberita ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Dalam masa sama, NSAM meletakkan sasaran kepada Jonathan, Alia Sazana dan Nurul Syasya Nadiah untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik pada setiap kejohanan bagi mencerahkan peluang membawa pulang pingat emas.
Ketiga-tiga atlet tersebut berpeluang memulakan misi ke Olimpik dengan langkah kanan apabila akan memulakan siri Piala Dunia yang pertama di Jakarta, Indonesia dari hari ini sehingga 7 Februari.
“Tidak banyak berubah kerana tiga orang itu masih dikekalkan (Jonathan, Syasya, Alia), kita ada senarai beberapa nama, antara 20 hingga 25 orang untuk menjalani latihan di Bukit Jalil, dan pastinya akan lebih bagus kalau mereka dapat dinaikkan ke program Podium, tetapi iatu semua masih di peringkat perbincangan.
“Harapannya adalah untuk meraih kedudukan lapan terbaik, tetapi semua ini adalah subjektif kerana jika cuaca pada hari pertandingan tidak elok, ia mungkin memberi kesan terhadap penembak tetapi mereka masih tetap boleh memenangi pingat emas dengan markah yang rendah,” tambah Jasni. – UTUSAN ONLINE