BHUBANESWAR: Malaysia sudah mencatur taktikal permainan terbaik yang bakal digunakan untuk berdepan Sepanyol dalam perebutan tiket ke suku akhir hoki Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga petang esok.
Tonggak pertahanan negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan percaya, dia dan rakan-rakan sepasukan perlu mempercayai kemampuan diri serta perancangan jurulatih untuk memastikan kemenangan mampu menjadi milik Speedy Tigers.
Tidak kira berapa gol yang dijaringkan, kemenangan ke atas skuad Red Sticks akan membawa Malaysia muncul empat pasukan terbaik dalam Piala Dunia kali ini, sekaligus menempah pertemuan dengan juara tiga kali, Australia.
“Kami ada taktikal sendiri tetapi saya tak boleh kongsikannya sekarang. Bukan nak kata terlalu yakin tetapi kami percaya dengan kemampuan kami dan juga perancangan jurulatih.
“Pemain dah tanam dalam diri mahu kalahkan Sepanyol. Kami perlu bermain bijak dan beri usaha lebih dalam perlawanan nanti, kalau ada rezeki kejayaan akan menjadi milik negara,” katanya.
Motivasi pemain dilihat berada pada tahap terbaik susulan kejayaan muncul naib juara Kumpulan C, selain kenaikan ranking ke No.9 dunia, berdasarkan sesi latihan di Stadium Kalinga petang tadi.
“Kami ada tanggungjawab dekat sini dan kami perlu laksanakan baki tugas untuk mencapai sasaran. Saya harap dapat membanggakan anak-anak dan isteri serta mengharumkan nama Speedy Tigers,” jelas Najmi.
Skuad bimbingan A. Arul Selvaraj itu tewas 2-3 kepada Sepanyol dalam aksi yang berlangsung selama 45 minit sebagai pemanas badan sebelum kejohanan bermula di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela sebelum ini.
Begitupun, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam pertandingan rasmi menyaksikan Speedy Tigers menang 4-3 sewaktu Kejohanan Jemputan Empat Negara 2019 di Terrassa, Sepanyol. – UTUSAN ONLINE