ROURKELA: Kejayaan menumpaskan Chile 3-2 pada perlawanan kedua Piala Dunia 2023 semalam membolehkan Malaysia kembali ke kelompok 10 terbaik dunia dalam ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Speedy Tigers kini mengumpul 1,863.52 mata, manakala New Zealand, lawan yang bakal ditentang dalam perlawanan ketiga Kumpulan C, Khamis ini berada di kedudukan kesembilan dengan 1,926 mata.
Malaysia dan New Zealand akan bertemu di Bhubaneswar, Khamis ini untuk perlawanan terakhir Kumpulan C dan sekiranya anak buah Arul Selvaraj dapat meraih kemenangan, ia akan menyaksikan mereka berpeluang naik di ranking lebih tinggi kerana hanya 62.48 mata memisahkan kedua-dua pasukan.
“Mata Piala Dunia dikemas kini serta-merta dan ia sesuatu yang bagus kerana pasukan dapat melihat kemajuan mereka sejurus selepas perlawanan.
“Bagi Malaysia, adalah sangat penting untuk kita terus memperbaiki ranking dunia.
“Kami akan menentang New Zealand dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk menentukan lawan selepas ini selain memperoleh mata ranking yang berharga,” kata Arul.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal sebelum bermulanya Piala Dunia sudah menyatakan misi mereka adalah untuk kembali menduduki ranking ke-10 dunia dengan mengumpul mata sebanyak mungkin.
Malaysia dan New Zealand dilihat mempunyai kualiti sama selepas kedua-duanya dibelasah 0-4 oleh Belanda dan meraih kemenangan ke atas Chile. – UTUSAN ONLINE