Malaysia intai suku akhir

Malaysia intai suku akhir

PEMAIN negara membuktikan penyertaan di Piala Dunia bukan sekadar 'makan angin'.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memiliki peluang lebih cerah untuk mara ke suku akhir selepas mengesahkan kemaraan selaku naib juara Kumpulan C, Hoki Piala Dunia menerusi kemenangan 3-2 ke atas New Zealand di Stadium Kalinga, di sini semalam.

Kemenangan itu amat bermakna kerana ia membolehkan skuad hoki negara bertemu pasukan ketiga terbaik Kumpulan D, dijangka Sepanyol dalam peringkat cross over pada Ahad ini.

Lebih manis, aksi membenam New Zealand adalah kemenangan pertama Malaysia ke atas The Black Sticks di pentas Piala Dunia selepas seri tanpa jaringan sewaktu edisi 1975 di Kuala Lumpur dan tewas 2-3 ketika di Utrecht, Belanda pada 1998.

Dalam aksi semalam, Malaysia memulakan perlawanan dengan langkah positif apabila membuka tirai jaringan menerusi gol padang Faizal Saari pada minit kesembilan.

Penyerang prolifik itu menguis masuk bola di celah kaki penjaga gol New Zealand, Dominic Dixon selepas menerima hantaran Shello Solverius hasil serangan balas pantas bermula dari bahagian bawah.

Penampilan pertama Shahmie Irfan Suhaimi di pentas antarabangsa bersama Malaysia selepas menggantikan tempat Muhammad Shahril Saabah kerana ce­dera hamstring memberikan nilai tambah kepada jentera serangan pasukan kebangsaan.

Walaupun baru membuat debut tetapi penyerang muda berusia 20 tahun itu, kelihatan tidak kekok untuk menunjukkan skilnya dengan mengucar-kacirkan barisan pertahanan New Zealand dalam usaha mencari tambahan pukulan sudut penalti.

Gol kedua yang dicari-cari skuad negara akhirnya tiba pada minit ke-43 menerusi drag flik deras daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan Razie Abd. Rahim.

New Zealand mempamerkan kebangkitan dengan meledak dua gol dalam tempoh seminit menerusi Hayden Phillips dan Sam Lane pada minit ke-52 serta 53.

Bagaimanapun, Faizal muncul wira negara apabila tenang menewaskan Dixon untuk meledak gol kemenangan Malaysia ketika aksi berbaki tiga minit sebelum tamat.

Kelemahan menjadikan pukulan sudut penalti sebagai ‘senjata’ bagi meledak gol harus diperbaiki segera oleh jurulatih negara, Arul Selvaraj sekiranya berhasrat mara lebih jauh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya