PETALING JAYA: Akademi Badminton Malaysia (ABM) beri bayangan Malaysia akan turun dengan skuad terkuat menjelang Kejohanan Berpasukan Campuran Asia yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 15 hingga 19 Januari depan.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan badan induk itu, Wong Choong Hann menjelaskan skuad kali ini bakal diadun dengan campuran pemain kebangsaan serta profesional, sekaligus tidak lagi menggunakan pendekatan sebelum ini yang membariskan barisan pemain muda di kejohanan itu.
Sebanyak 16 pemain akan disenaraikan, dengan pecahannya adalah lapan pemain lelaki dan lapan pemain wanita.
Bagaimanapun Choong Hann enggan mendedahkan sebarang nama, termasuk pemain profesional yang akan menguatkan pasukan negara untuk saingan kali ini.
“Saya rasa kami akan umumkan secara rasmi tidak lama lagi, cuma apa yang saya boleh katakan, pasukan kali ini akan terdiri daripada pemain ABM dan profesional.
“Kami juga ada membuat perbincangan dengan beberapa pemain tonggak di skuad profesional tentang kerjasama untuk persiapan kejohanan ini, dan mungkin memandang lebih jauh kepada Piala Sudirman yang akan berlangsung pada Mei, tetapi apa jua yang kami cadangkan kepada mereka,ia berbalik kepada titik persefahaman antara kedua-dua pihak,” jelas Choong Hann ketika ditemui sejurus tamat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil hari ini.
Kejohanan yang baru sahaja memasuki edisi ketiga itu telah pun tertangguh selama tiga tahun, pernah dikenali sebagai Piala Tong Yun Kai, namun nama itu kembali ditukar kepada Kejohanan Berpasukan Campuran Asia.
Perjalanan Malaysia untuk dua penampilan sebelum ini iaitu di Hanoi 2017 dan Hong Kong 2019 berakhir di peringkat suku akhir.