PETALING JAYA: Ng Tze Yong membawa bekalan psikologi terbaik apabila membuat penampilan sulung pada kejohanan Super 1000 Terbuka Malaysia yang berlangsung 10 hingga 15 Januari depan apabila kini menghuni tangga ke-25 dunia.
Ia peningkatan memberangsangkan buat pemain badminton kelahiran Johor itu memandangkan Januari tahun lalu dia berada di tangga ke-60 dunia perseorangan lelaki.
Tze Yong enggan menoleh ke belakang dan tekad mahu memperbaiki lagi ranking dunia tahun ini, sekali gus memberi kelebihan buatnya dari segi undian kejohanan.
“Sasaran saya pastinya lebih tinggi tahun ini, jadi saya harap saya mampu untuk mencapainya, kalau boleh naik ke dalam kelompok 20 terbaik.
“Saya rasa sekarang stamina saya sudah semakin baik tetapi masih perlu kejohanan yang saya sertai kerana taraf kejohanannya adalah lebih besar dan saya tidak pernah beraksi di kejohanan besar, jadi saya kena lebih bersedia untuk beraksi di lapangan,” jelas Tze Yong.
Tugas yang mencabar buat pemain berusia 22 tahun ini kerana dia bakal membuat perhitungan dengan pemain Ireland, Nhat Nguyen yang kini dilatih bekas pemain Malaysia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.’
Sekiranya dia berjaya meneruskan kemaraan, Tze yong akan bertemu dengan bekas seniornya yang juga pilihan kedua kejohanan, Lee Zii Jia dan ia bakal menjadi pertemuan menarik kerana kedua-dua pemain tidak pernah berentap sejak beralih ke peringkat senior.
“Saya amat teruja dengan Terbuka Malaysia tahun ini, dan saya akan cuba berikan yang terbaik.
“Saya rasa semua kejohanan yang saya bakal sertai akan menjadi lebih susah, apatah lagi tahun ini juga tahun kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 tetapi saya akan fokus dan memberikan yang terbaik,” jelas Tze Yong.