KUALA LUMPUR: Selepas 15 tahun menabur bakti di dalam gelanggang, bekas pemain beregu campuran, Goh Liu Ying akhirnya sudah mempunyai perancangan tersendiri setelah secara rasminya menggantung raket hari ini.
Liu Ying diraikan dalam satu majlis ringkas di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, sebagai tanda menghargai segala jasa dan pengorbanannya mengerah keringat di atas.
Majlis tersebut turut dihadiri bekas gandingannya, Chan Peng Soon, bekas gandingan beregu lelaki No. 1 Dunia, Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou serta perseorangan wanita Amerika Syarikat, Zhang Bei Wen.
Mereka berenam beraksi dalam satu perlawanan pertunjukkan sebelum Liu Ying mengakhiri majlis itu dengan ucapan terakhirnya yang penuh emosi.
“Saya akui hari ini saya sedikit beremosi kerana ini merupakan hari terakhir saya dapat beraksi di Axiata Arena sebagai pemain.
“Perancangan saya selepas ini adalah untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan badminton dan kemudian mungkin kejohanan untuk sukan lain juga, tetapi saya akan bermula dengan badminton.
“Saya akan anjurkan kejohanan tiga lawan tiga pada Februari, dan mungkin ada satu lagi kejohanan bersama Astro pada April, tetapi untuk menjadi jurulatih, kita tunggu dan lihat sahaja nanti,” jelas Liu Ying.
Tambah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga menjelaskan kejohanan itu akan bermula di Lembah Klang sebelum bergerak ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak. Kejohanan itu juga akan dibahagikan kepada beberapa kategori mengikut umur.
“Kejohanan itu nanti bukan untuk profesional, tetapi untuk pemain amatur, kerana kita sudah ada banyak kejohanan untuk pemain profesional tetapi tidak untuk pemain amatur, dan saya tahu rakyat Malaysia amat meminati badminton jadi akan cuba anjurkan lebih banyak kejohanan,” tambah Liu Ying.
Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 merupakan kejohanan terakhir disertai Liu Ying bersama pasangannya, Chan Peng Soon, bagaimanapun perjalan mereka terhenti di pusingan pertama setelah tewas kepada Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dengan keputusan 21-18, 15-21, 7-21.