Liu Ying akan merindui aksi bersama Peng Soon

Liu Ying akan merindui aksi bersama Peng Soon

Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying ketika menentang pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto dan Lisa Ayu Kusumawati pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023, di Stadium Axiata Arena, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Rindu, sudah tentu saya rindu (dapat kembali bermain dengan Chan Peng Soon), banyak pencapaian yang telah kami catat bersama.”
Itulah kalimat terakhir Liu Ying sebagai pemain badminton negara, sebelum anak kelahiran Melaka berusia 34 tahun itu mengantung raket dalam penampilan terakhirnya pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena, dekat sini, semalam.

Liu Ying yang kembali bergandingan dengan Peng Soon setelah lebih setahun berpisah, tumpas kepada beregu campuran Indonesia yang menghuni ranking ke-12 dunia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-18, 15-21, 7-21.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 berpasangan dengan Peng Soon itu berkata, beraksi buat kali terakhir pada kejohanan berstatus 1,000 itu satu memori yang tidak akan dilupakannya.

“Inilah memori yang saya takkan lupa, sebelum perlawanan saya memang sasarkan kalau dapat menang satu game pun bonus buat saya dengan Peng Soon.

“Tak kisahlah set kedua atau set ketiga, yang penting kami beri yang terbaik untuk peminat, memang dari dulu saya dengan Peng Soon selalu beraksi di sini, saya rasa sangat bertuah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sepanjang 15 tahun berpasangan dengan Peng Soon, mereka berdua telah merangkul 12 gelaran dan ranking terbaik yang pernah dihuni ialah No. 3 dunia.

Mengimbas kembali kenangannya bersama peminat, Liu Ying memberitahu, pelbagai kenangan telah diharungi termasuk dimarahi peminat Malaysia gara-gara mereka tewas dalam perlawanan.

“Peminat kita memang gila, saya pernah terdengar mereka memarahi kami, pengalaman ini yang membuat saya berasa terharu.

“Cuma saya sedikit kecewa kerana tidak pernah memenangi Terbuka Malaysia dengan pencapaian terbaik kami pada kejohanan ini ialah selaku naib juara,” ujar Liu

Ying yang turut mengkui berasa sedih meninggalkan kariernya sebagai pemain badminton.
Pemain itu juga mengucapkan terima kasih kepada peminat yang setia memberikan sokongan kepadanya walaupun dia ditimpa kecederaan atau ketika kedudukan rankingnya jatuh.

Ketika ditanya perancangannya selepas ini, Liu Ying berkata, dalam masa terdekat, akan ada pengumuman bakal dibuat berhubung kariernya selepas bersara.
Sementara itu, Peng Soon ketika ditanya berhubung persaraan Liu Ying memberitahu, bekas gandingannya itu masih mampu beraksi dengan baik.

“Dia masih pemain yang bagus, saya sendiri dah rasa semakin tua, saya juga akan bersara tidak lama lagi, cuma bukan sekarang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya