PETALING JAYA: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kos lebih RM700 juta bagi pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu sebagai tidak logik.
Menerusi satu komen di laman Instagram dan kini tersebar di media sosial, Tunku Ismail menganggap pembinaan stadium baharu Selangor FC itu adalah berharga RM2 bilion.
“SSI (Stadium Sultan Ibrahim) 400 lebih juta sahaja. Stadium ini (Stadium Shah Alam) sekurang-kurangnya 2 bilion. Kerana mempunyai teknologi yang tinggi. 700 juta lebih tidak logik,” katanya.
Stadium Shah Alam yang akan dijenamakan sebagai Kompleks Sukan Shah Alam bakal menjadi mercu tanda baharu buat pasukan Gergasi Merah yang akan dijadikan venue tetap pasukan itu.
Gelanggang serba moden itu dijangka siap pada 2026 dan kemungkinan Selangor FC boleh menggunakan stadium berkenaan pada 2027.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan stadium baharu itu bakal dilengkapi dengan padang boleh diubah.
Katanya, stadium yang berkapasiti 35,000 hingga 45,000 tempat duduk itu turut dijangka menggunakan jenis rumput Paspalum atau Zeon Zoysia.-UTUSAN ONLINE