PETALING JAYA: Kehadiran beberapa bintang badminton utama dunia mula membanjiri beberapa pusat latihan di sekitar Lembah Klang menjelang Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan membuka tirai Selasa depan, antaranya pemain No. 5 Dunia, Chou Tien Chen yang mengambil keputusan berlatih bersama barisan pemain profesional negara di Kelab Badminton Sports Affairs, Cheras.
Tien Chen yang tiba semalam terus mengadakan sesi latihan pada Jumaat di bersama-sama beberapa orang pemain negara antaranya Lim Chong King, Lim Chi Wing, dan Soong Joo Ven. Bagaimanapun kesemua mereka tidak akan menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia tahun ini memandangkan ranking dunia mereka tidak mencukupi untuk melayakkan diri ke saingan yang sudah dinaikkan taraf ke Super 1000 itu.
Justeru kesempatan itu dimanfaatkan wakil tunggal perseorangan wanita negara, Goh Jin Wein yang dilihat berlatih bersama Tien Chen selain turut bertukar-tukar pandangan di atas gelanggang.
“Tidak ada apa apa yang serius, sesi latihan saya bersamanya (Jin Wei) hanyalah perkongsian pengalaman antara kami berdua, dan saya rasa ia adalah sesuatu yang bagus kerana saya memang mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan kebanyakkan pemain Malaysia.
“Mereka pula mempunyai kemahiran yang bagus dan pemikiran yang baik, jadi setiap kali saya berkongsi sesuatu, mereka dapat menerimanya dan memberika maklum balas tentang sesuatu perkara, jadi ia amat membantu,” jelas Tien Chen yang ditemui Utusan Malaysia.
Bagi Tien Chen, ini bukanlah kali pertama dia bertandang ke Sports Affairs kerana pernah melakukan perkara ketika tahun lalu, dan jaguh Taiwan ini berasa senang dan gembira kerana kehadirannya amat dialu-alukan oleh kelab badminton ini.
Tahun lalu, perjalanan Tien Chen di Terbuka Malaysia terhenti di pusingan kedua apabila ditewaskan pemain India, H.S Prannoy, justeru dia berharap dapat mara lebih jauh berdasarkan persiapan rapi yang dilakukan untuk edisi kali ini.
“Saya tidak pernah merasakan saya pemain ternama walaupun ranking saya tinggi, kerana tumpuan saya dalah untuk mencuba lebih baik dalam setiap kejohanan yang saya sertai,” tambah Tien Chen.