Hijau Kuning FC latih 'ubi muda' guna modul La Liga - Utusan Malaysia

Hijau Kuning FC latih ‘ubi muda’ guna modul La Liga

MUHAMMAD Talhah Zainol (dua kanan) menyampaikan dokumen perjanjian kepada pemain cilik HKFC, Muhammad Aqiff Naufal Mohd. Syahrul sambil disaksikan bapa kanak-kanak itu, Mohd. Syahrul Abdul di di Kelab Golf Darul Aman di Jitra, Kubang Pasu. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Dengan tekad untuk melahirkan pemain profesional berilmu pada masa depan, Hijau Kuning FC (HKFC) memeterai perjanjian melibatkan seramai 24 ‘ubi’ muda Kedah bawah 12 dan 10 tahun bagi menjalani latihan menggunakan modul La Liga di Sepanyol.

Presiden HKFC, Muhammad Talhah Zainol berkata, barisan pemain muda berpotensi itu dipilih hasil daripada program mencungkil bakat yang dilakukan di sekolah-sekolah seluruh negeri Kedah.

Katanya, mereka akan diasuh dan dididik tidak hanya mengenai falsafah dan ilmu dalam padang sebaliknya jati diri serta kemahiran yang dimiliki oleh pemain-pemain bola sepak profesional.

“Ianya kesinambungan kepada perjalanan kami ke Sepanyol untuk menjalin kerjasama dengan Tim Khas Pembangunan Bola Sepak La Liga, Oktober lalu. Seperti sedia maklum, sebelum ini kami membawa seorang pemain muda, Mohammad Hafiy Hamdan, 17, untuk diperkenalkan di sana dan dia akan kembali ke negara tersebut pada Mac depan untuk menyambung latihan.

“Insya-Allah pada Februari nanti, terdapat beberapa individu berkelayakan dari Sepanyol akan hadir ke sini untuk membantu menetapkan silibus berkaitan serta memantapkan latihan buat anak-anak ini.

“Sistem latihan serta silibus tersebut akan diadaptasi daripada konsep pembangunan pemain dalam La Liga. Insya-Allah, berkat usaha semua, kami menyasarkan supaya anak-anak ini bersedia untuk menghadapi dunia bola sepak profesional seawal 17 tahun,” katanya.

Pada majlis tersebut, pihaknya turut mengumumkan tajaan daripada sebuah syarikat automotif terkemuka dunia bagi membantu pembangunan anak-anak muda berkenaan.

Mengulas lanjut kata Muhammad Talhah, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan beberapa pasukan dari negara Asia seperti Korea Selatan, Filipina dan Thailand sebagai persediaan untuk mendedahkan ‘ubi-ubi’ muda berkenaan kepada arena bola sepak di luar negara.

“Malah selepas pulang dari Sepanyol, kami ada menerima jemputan untuk menyertai kejohanan-kejohanan berskala kecil di sana. Namun kami terpaksa menolak kerana mahu membuat persediaan lebih rapi dan mempersiap pasukan agar lebih mantap.

“Bermula 2023 ini, kami akan mula menyertai perlawanan-perlawanan di sekitar Asia. Selepas itu kami menyasarkan lebih ramai dalam kalangan pemain-pemain muda ini dapat menyertai latihan di luar negara,” katanya.

Muhammad Talhah menambah, latihan kesemua pemain muda tersebut dijalankan di sebuah lokasi di Hutan Kampung, Alor Setar yang akan dijadikan rumah kelab buat pasukan berkenaan.

“Kami sudah dapat persetujuan dan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah untuk membangunkan sebuah rumah kelab di lokasi tersebut. Insya-Allah, pelbagai fasiliti akan disediakan di situ dalam masa terdekat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya