PETALING JAYA: Impian Harimau Malaya untuk melangkah ke perlawanan akhir berkecai apabila skuad bimbingan Kim Pan Gon itu dijinakkan Gajah Perang menerusi kekalahan 0-3 pada separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Thammasat, Thailand, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Alexandre Polking itu membuka jaringan menerusi penyerang veteran, Teerasil Dangda yang menanduk kemas bola hasil hantaran lintang, kapten Thailand, Theerathon Bunmathan pada minit ke-19.
Tuan rumah sejak awal permainan lagi, telah melancarkan serangan ke kubu Harimau Malaya bagi mencari gol awal, setelah mereka dibolosi pada timbal balik pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Kedudukan kekal dengan keputusan 0-1 sehingga wisel penamat babak pertama dibunyikan oleh pengadil dari Jordan, Adham Mohammad Tumah Makhadmeh.
Permainan yang bersambung pada separuh masa kedua menyaksikan Malaysia melakukan dua pertukaran apabila bek kiri, V. Ruventhiran dibawa masuk menggantikan Mohd Nor Hakim Hassan dan Lee Tuck pula mengisi posisi Muhammad Mukhairi Ajmal.
Pertukaran yang dilakukan pengendali Harimau Malaya dari Korea Selatan itu masih gagal mengubah rentak permainan apabila pintu gol Malaysia sekali lagi dibolosi tuan rumah pada minit ke-55.
Kali ini giliran pemain tengah, Bordin Phala meledakkan gol kedua skuad Gajah Perang setelah menerima hantaran Ekanit Panya pada minit ke-55.
Pasukan pelawat yang ketinggalan 0-2, mula berasa terdesak untuk merapatkan kedudukan dan peluang terbaik itu diperoleh menerusi tonggak sayap negara, Faisal Abdul Halim yang menyaksikan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-59 sedikit tersasar dari pintu gol tuan rumah.
Thailand yang terus bernafsu memburu gol, menambah derita Harimau Malaya apabila gawang yang dikawal Ahmad Syihan Hazmi dirobek penyerang import baharu Terengganu, Adisak Kraisorn yang menerima umpanan daripada Suphanan Bureerat pada minit ke-70 dari sebelah kanan padang.
Jaringan ketiga tersebut semakin menyukarkan anak-anak buah Pan Gon untuk mara ke pentas akhir setelah kedudukan agregat menjarak kepada 1-3.
Pada separuh akhir kedua menentang Thailand itu, Pan Gon melakukan empat pertukaran dengan pemain tengah, Muhammad Mukhairi Ajmal kembali ke dalam kesebelasan utama, manakala, Mohd Nor Hakim Hassan dan bek kiri, Fazly Mazlan yang diturunkan ketika menentang Laos turut disenaraikan.
Bek kanan, Azam Azmi yang selesai menjalani penggantungan kad merah mengambil kembali posisinya itu daripada Quentin Cheng. – UTUSAN ONLINE