Harimau Malaya catat kemenangan tipis ke atas Thailand

Harimau Malaya catat kemenangan tipis ke atas Thailand

PEMAIN Malaysia meraikan jaringan Faisal Halim dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA LUMPUR: Harimau Malaya hanya membawa bekalan satu gol ke Stadium Thammasat, setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Thailand pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil dekat sini, sebentar tadi.
Gol tunggal skuad kebangsaan dihasilkan menerusi bintang sayap, Faisal Abdul Halim yang menyambut hari jadinya yang ke-24 tahun, hari ini.
Pemain yang bakal menyertai Selangor pada musim baharu Liga Super nanti, menerima baik hantaran bek kiri, V. Ruventhiran sebelum dia menolak mudah bola ke gawang Thailand seawal minit ke-11.
Kekalahan itu menyaksikan sumpahan Thailand di Bukit Jalil masih belum terlerai sejak kali terakhir skuad Gajah Perang menang 3-2 pada 26 November 2014 dalam saingan Piala AFF.
Thailand yang tersentak dengan jaringan tersebut melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol tuan rumah, namun, penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan berbahaya itu.
Salah satu peluang terbaik skuad Gajah Perang itu hadir pada minit ke-23 apabila pemain tengah, Bordin Phala menyempurnakan rembatan ke gawang Malaysia, namun, percubaannya itu tersasar keluar.
Sebaik permainan bersambung dalam separuh masa kedua, pintu gol Malaysia hampir dibolosi, tetapi, mujurlah tandukan bintang penyerang Thailand, Teerasil Dangda yang menerima umpanan Suphanan Bureerat pada minit ke-46 sekadar mengenai palang.
Gawang Thailand sekali lagi dibolosi pada minit ke-54 hasil tandukan Darren Lok, bagaimanapun, malangnya jaringannya itu tidak dikira pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae Yong.
Penyerang Harimau Malaya itu dikatakan mengasari pemain pertahanan Thailand, Pansa Hemviboon ketika perebutan bola di udara. Ekoran gol yang dibatalkan itu, penyokong Harimau Malaya tidak henti-henti mengejek pasukan pelawat.
Ini merupakan kali kedua insiden kontroversi menimpa anak-anak buah Kim Pan Gon membabitkan keputusan pengadil selepas perlawanan menentang Vietnam, Disember lalu.
Pengendali Korea Selatan itu kemudiannya melakukan tiga pertukaran apabila membawa masuk Muhammad Haqimi Azim Rosli, Nur Shamie Iszuan Amin dan Sergio Aguero.
Pemain yang dikeluarkan adalah kapten, Safawi Rasid, Quentin Cheng dan Darren. Keputusan perlawanan kekal 1-0 sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil. – UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya