ALOR SETAR: Kepantasan dan kelicikan pemain lincah Kedah Darul Aman (KDA FC), Fayadh Zulkifli termasuk mampu menjaringkan gol berpotensi untuk dia dididik Nafuzi Zain menjadi sehebat tonggak kebangsaan, Faisal Halim.
Sedar akan harapan menggunung penyokong terhadapnya, Fayadh yang dilihat memiliki saiz badan dan ketinggian hampir sama dengan Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey enggan terbuai dengan pujian yang sering dihamburkan kepadanya.
Dia sebaliknya tidak sabar untuk menuntut ilmu daripada Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi yang turut bertanggungjawab menaikkan prestasi Faisal ke tahap sekarang ketika di Terengganu FC.
“Sejak tahun lalu apabila terdengar khabar Nafuzi bakal mengemudi KDA FC, saya sudah teruja untuk membuktikan kemampuan diri. Kini apabila beliau sudah di sini, saya mahu terus tunjukkan lagi kemampuan diri agar beliau beri kepercayaan untuk letak saya dalam kesebelasan utama.
“Cakap-cakap menyatakan beliau nak jadikan saya seperti Faisal mungkin betul tetapi saya sebenarnya berazam untuk cipta kelainan berbanding orang lain. Kalau boleh nak jadi lebih baik dan untuk itu banyak yang perlu dilakukan dan dipelajari ketika ini,” katanya ditemui dalam sesi latihan, semalam.
Di bawah kendalian Ketua Jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak sebelum ini, Fayadh sering dimasukkan sebagai supersub bagi merobek gawang lawan untuk tempoh 20 atau 15 minit terakhir.
Taktikal itu tampak menjadi dengan kelincahan serta kemampuannya menjaringkan gol sering membuatkan pertahanan lawan kucar-kacir pada minit-minit akhir perlawanan namun ‘bisanya’ itu semakin kurang menyengat apabila diturunkan sebagai kesebelasan utama.
Fayadh berkata, rata-rata pemain termasuk yang baru menyertai skuad berkenaan sudah bersedia menerapkan gaya permainan digemari Nafuzi yang jelas tidak bergantung kepada permainan bersifat ‘long ball’.
“Dalam pasukan ini semuanya sama saja tanpa ada yang berpuak-puak. Di sini tak ada siapa pun yang bergelar bintang atau dianggap ‘besar’ dalam pasukan dan disebabkan itu, saya fikir keserasian akan mudah dibentuk antara pemain lama dan baharu.
“Menjelang pembukaan musim baru ini, saya harap penyokong terus beri sokongan kepada kami. Saya berharap lebih ramai penyokong Hijau Kuning akan hadir ke stadium dan lihat sendiri perubahan yang akan dibawakan Nafuzi,” katanya.