LONDON: Selepas bertindak memecat legenda Chelsea, Frank Lampard, jurulatih berpengalaman Argentina, Marcelo Bielsa disebut-sebut sebagai calon utama untuk menjadi penyelamat Everton.
Semalam, kelab Toffees mengesahkan, Lampard dipecat hanya 357 hari selepas mengendalikan pasukan gara-gara prestasi buruk pasukan yang kini menghuni tangga kedua tercorot liga.
Bekas pemain dan pengurus Chelsea itu meninggalkan Everton di tangga ke-19 dalam Liga Perdana Inggeris selepas membuat permulaan terburuk sepanjang musim, dengan 15 mata daripada 20 perlawanan liga.
Bielsa meninggalkan Leeds musim lalu dan dia telah mengadakan perbincangan dengan pemilik Everton, Farhad Moshiri kerana ingin mengetahui tentang strategi perpindahan mereka seminggu sebelum pintu perpindahan ditutup.
Pihak pengurusan Everton tahu apa yang akan berlaku pada pelantikan itu dan mereka percaya tindakan melantik pengurus yang menerapkan gaya permainan menyerang seperti Bielsa boleh memperbaiki kedudukan ketika aksi berbaki separuh musim.
Lampard yang ketika ini berumur 44 tahun ternyata kecewa dengan keputusan Everton, namun dia memahami punca dirinya dipecat selepas tewas lapan daripada sembilan perlawanan terakhirnya sebagai pengurus.
Susulan keputusan itu, kakitangan kejurulatihan Lampard yang terdiri daripada Joe Edwards, Chris Jones, Paul Clement dan Ashley Cole juga turut meninggalkan pasukan berkenaan berkuat kuasa serta-merta. – AGENSI