PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengorak langkah apabila menjalin kerjasama strategik bersama Affin Group, yang dilantik menjadi rakan bank rasmi badan induk untuk bersama-sama meningkatkan lagi mutu badminton negara.
Penajaan selama dua tahun sehingga 2024 akan menyaksikan BAM bakal mendapat bantuan dan sokongan penuh daripada entiti perbankan negara itu, termasuk penajaan untuk kejohanan pembangunan remaja yang akan dikenali sebagai Kejohanan Jelajah Elit Affin 100 plus.
Selain itu, kerjasama ini juga turut akan membantu dari sudut kewangan memandangkan skuad utama kebangsaan akan mengharungi jadual padat menjelang kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada 1 Mei depan.
Bagi Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, kerjasama ini membuktikan BAM mampu bergerak sendiri dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan dalam usaha untuk memacu sukan negara ke arah lebih tinggi.
Bagaimanapun ia harus seiring dengan kejayaan yang mampu dicapai bagi membolehkan pihak penaja mendapat pulangan yang setimpal dengan dana telah dibelanjakan.
“Kami telah membincangkan mengenai kerjasama ini sejak sekian lama, tetapi baru sekarang ia dapat direalisasikan ekoran negara dilanda wabak Covid-19, dan saya dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama ini bersama pihak Affin
“Sokongan pihak syarikat korporat amat penting untuk meneruskan program pembangunan dan kejohanan remaja di dalam negara ini.
“Pastinya kami akan menumpukan sepenuh perhatian untuk tempoh dua tahun yang akan datang menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024, dan dengan bantuan yang diberikan kepada kami, ia amat bermakna dalam usaha kami untuk memburu pingat emas pertama negara di Sukan olimpik,” jelas Norza ketika Majlis Pengumuman Penajaan BAM dan AFFIN Group di Menara Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.