KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyeru semua penyokong Malaysia memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, dan menjadikan suasana pertemuan Piala AFF menentang Singapura bagaikan ‘pesta’ bagi membangkitkan semangat pemain.
Seri atau kalah akan menyingkirkan Malaysia daripada ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu, dan untuk memenuhi misi wajib menang, pasukan negara memerlukan seluruh kekuatan, bukan sahaja daripada segi permainan, malah sorakan padu ribuan penyokong.
Setakat pukul 5 petang semalam, 38,819 tiket sudah terjual, bermakna masih ada lebih separuh tempat duduk belum mempunyai pemilik kerana Stadium Bukit Jalil mampu menampung sehingga 80,000 penonton.
“Bagi saya perkara paling penting adalah bagaimana untuk mendapat kemenangan. Saya mahu penyokong yang hadir dapat rasai kenikmatan daripada perlawanan malam esok (malam ini).
“Kita akan gunakan kelebihan yang kita ada sebaik mungkin khususnya menerusi sokongan padu penyokong. Persiapan kita berjalan lancar dan saya percaya pemain saya akan berjuang habis habisan.

“Kita mahu perlawanan itu seperti sebuah pesta meraikan kemenangan pasukan dan itu yang kami akan lakukan,” kata Pan Gon.
Singapura memiliki kelebihan mata berbanding Malaysia dengan mengumpul tujuh mata hasil tiga perlawanan.
Malaysia pula dengan enam mata selepas kalah 3-0 kepada Vietnam dalam aksi terakhir.
Menghuni ranking ke-145 dunia, Harimau Malaya harus berhati-hati dengan Singapura biarpun mereka berada pada kedudukan ke-160 kerana ramai pemain negara itu amat mengenali corak permainan Malaysia kerana pernah beraksi dalam liga di negara ini.
Ketua pasukan, Hariss Harun (Johor Darul Ta’zim), Shahdan Sulaiman (Melaka United), Anumanthan Kumar (Kedah), Shakir Hamzah (Kedah, Perak) dan Faris Ramli (Terengganu) antara yang pernah bermain dalam Liga Malaysia (Liga M).