BHUBANESWAR: Melihat kepada ranking dunia tidak banyak beza. Malaysia di tangga kesembilan dan Sepanyol kelapan.
Malaysia juga mengalahkan Sepanyol 4-3 dalam pertemuan terakhir pada 2019, biarpun secara keseluruhan Speedy Tigers hanya menang tiga kali dan seri dua daripada 18 pertemuan menentang The Red Sticks.
Pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Dunia mara ke separuh akhir di Kuala Lumpur 1975 sedangkan Sepanyol pernah bergelar naib juara 1998 dan 1971, selain tempat ketiga 2006.
Begitupun, semua rekod lampau tidak mempengaruhi Speedy Tigers apabila berdepan Sepanyol dalam perebutan tiket suku akhir hoki Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar hari ini.
Pengendali Malaysia, A. Arul Selvaraj percaya, pemainnya sudah dipersiapkan untuk berdepan lawan, yang tampak kurang memberangsangkan dalam aksi Kumpulan D.
Sepanyol kalah 0-2 kepada India, menewaskan Wales 5-1 sebelum tumpas 0-4 di tangan England.
Bagi Malaysia, biarpun memulakan kempen dengan kekalahan 0-4 kepada juara tiga kali, Belanda, namun mereka mencipta momentum kemenangan dengan mengalahkan Chile serta New Zealand 3-2 pada akhir terakhir Kumpulan C.
“Sepanyol kalah 0-4 kepada England, dan saya serta barisan jurulatih menonton perlawanan itu. Ia memberi gambaran kepada kami untuk merancang strategi menentang mereka.
“Kemenangan 3-2 ke atas New Zealand melonjakkan keyakinan kami, malah pemilihan dua pemain Malaysia (Marhan Jalil, menentang New Zealand) dan Norsyafiq Sumantri (Chile) sebagai Pemain Terbaik Perlawanan merangsang mereka untuk melakukan lebih baik bertemu Sepanyol,” ujar Arul.
Melihat kepada rekod pemain, barisan Speedy Tigers juga lebih berpengalaman berbanding Sepanyol, statistik yang diharap mampu membantu Malaysia melakar kemenangan.
Jika menumpaskan Sepanyol, juara tiga kali dan pasukan No. 1 dunia, Australia bakal menanti pada suku akhir, Selasa ini.