KUALA LUMPUR: Pemain No. 1 Dunia, Viktor Axelsen ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila tidak goyah berdepan dengan pemain muda meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2023 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Axelsen yang turun sebagai penyandang juara mendominasi keseluruhan perlawanan dan langsung tidak memberikan peluang buat Naraoka untuk bangkit sebelum menoktahkan kejayaan dengan keputusan 21-6, 21-15 dalam tempoh 40 minit.
Lebih manis, Axelsen melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Eropah pertama berjaya mempertahankan gelaran ini sejak ia diadakan pada tahun 1937.
Sebagai juara, Axelsen membawa pulang trofi kejuaraan dan wang tunai US$ 87,500 (RM 379,300), manakala Naraoka pula yang berpuas hati dengan naib juara meraih US$ 42,000 (RM 182,070).
“Saya dapat lihat pergerakan badannya dalam perlawanan tadi agak keras, kemungkinan letih kerana mengharungi perlawanan yang cukup panjang semalam, dia pula menempuhi perlawanan yang menakjubkan sejak pusingan pertama, dan ia adalah sesuatu yang bagus apabila dia masuk ke gelanggang dan bermain dengan rentak yang amat tinggi dan tidak memberikan peluang pada lawan, itu menunjukkan jika dia mahu menang, dia kena berusaha keras ke arah itu.
“Tahniah Kodai (Naraoka), minggu yang juga mengujakan dan dia berjaya buktikan dia merupakan pemain meningkat yang perlu diawasi ketika ini,” jelas Axelsen selepas tamat perlawanan.
Terdahulu dalam acara beregu campuran, pasangan No. 1 Dunia dari China, Zheng Si Wei dan Hua Ya Qiong berjaya memastikan mereka pertahankan gelaran juara acara itu buat kali keempat berturut-turut sejak 2018.
Mereka berjaya menewaskan pilihan ketiga kejohanan, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino dari Jepun dengan keputusan 21-19, 21-11.
Aksi beregu wanita pula menyaksikan China terus unggul apabila wakil mereka, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan kembali menaiki podium sebagai juara selepas kali terakhir mereka meraihnya pada 2019.
Gandingan China itu menewaskan lawan dari Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee Yu Lim dengan keputusan 21-16, 21-10.
Acara perseorangan wanita pula menemukan pemain Jepun, Akane Yamaguchi yang menewaskan pemain Korea Selatan, An Se Young dengan keputusan 12-21, 21-19, 21-11.
Menutup aksi terakhir Terbuka Malaysia 2023 merupakan pertarungan beregu lelaki antara pasangan No. 1 Dunia, Fajar Alfian dan Rian Ardianto menentang wakil China, Liang Wei Kang dan Wang Chang.
Selepas bertarung selama 68 minit, kemenangan akhirnya berpihak kepada gandingan Indonesia itu dengan keputusan 21-18, 18-21, 21-13.