KUALA LUMPUR: Pemain badminton No. 1 Dunia, Viktor Axelsen semakin bernafsu untuk melakar lebih banyak kejayaan dan tidak berselindung untuk cuba memecahkan rekod kejuaraan paling banyak yang kini dipegang oleh legenda negara, Datuk Lee Chong Wei.
Chong Wei yang bersara pada 2019 mengakhiri karier dengan 47 kejuaraan (Siri Super dan Jelajah Dunia) sehingga digelar Raja Siri Super.
Axelsen, yang berusia 29 tahun sudah pun mengecapi kesemua gelaran utama, termasuk pingat emas Sukan Olimpik dan dua kali bergelar juara Dunia sudah pun mengumpul 22 kejuaraan (Siri Super dan Jelajah Dunia), berpotensi besar menjadi pemecah rekod berkenaan.
Tahun lalu sahaja, pemain Denmark ini berjaya merangkul lapan kejuaraan, termasuk juara Eropah, juara Kejohanan Dunia dan Jelajah Dunia Akhir.
Terbaru, Axelsen melakar sejarah apabila menjadi perseorangan lelaki Eropah pertama berjaya mempertahankan gelaran juara di Terbuka Malaysia.
“Saya sangat gembira dapat meletakkan nama saya dalam senarai (pemenang) dan saya sangat terinspirasi dengan pemain-pemain seperti Chong Wei. Beliau seorang suri teladan yang hebat, saya mengagumi dan cuba melakukan sebaik beliau.
Saya gembira Chong Wei telah berhenti bermain kerana beliau menguasai arena di sini,” jelas Axelsen yang pernah tumpas kepada Chong Wei sebanyak tiga kali di Terbuka Malaysia.
Axelsen akan mengharungi kejohanan keduanya tahun ini di Terbuka India dan akan memulakan saingan menentang bekas pemain No. 1 Dunia, K.Srikanth yang merupakan wakil tuan rumah di pusingan pertama.-UTUSAN