ROURKELA: Ketua Jurulatih Malaysia, A. Arul Selvaraj mengakui, beliau buntu dan tiada jawapan mengapa anak-anak buahnya mempamer aksi buruk ketika dibenam 6-3 oleh Afrika Selatan dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga 16, hoki Piala Dunia 2023 semalam.
Dalam aksi di Stadium Birsa Munda, Speedy Tigers yang pada awalnya dilihat mampu menewaskan lawan yang berada pada ranking ke-15 dunia bagaimanapun ketinggalan 0-3 selepas tamat suku pertama.
Kekalahan itu bermakna, hajat Malaysia pulang bersama kedudukan kesembilan lebur, sekali gus menggugat peluang untuk kekal dalam kelompok 10 terbaik dunia.
“Kita kalah dalam 30 minit pertama dan saya tiada jawapan kenapa perkara itu terjadi. Ia sukar untuk kita mengejar apabila sudah ketinggalan 0-3.
“Pandangan saya ia bukan kerana mental pemain tetapi keinginan mereka dan emosi yang tinggi untuk melakukan sesuatu dengan betul.
“Situasi itu boleh menyebabkan berlakunya banyak kesilapan. Mereka cuba dan berjuang sehabis baik tetapi ia masih tidak berlaku,” kata Arul.
Malaysia dilihat seperti masih sukar melupakan kekecewaan gagal memenuhi sasaran ke suku akhir selepas tewas 3-4 menerusi penentuan penalti shoot-out kepada Sepanyol, Ahad lalu.
Beraksi dalam cuaca panas sepatutnya bukan alasan buat pemain negara yang dilihat gagal menyesuaikan diri hingga membenarkan Afrika Selatan meraih gol pertama menerusi Bradley Sherwood seawal minit kesembilan.
Kekerapan memberi pukulan sudut penalti kepada Afrika Selatan, pasukan yang dikalahkan 7-2 pada Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu mengundang padah.
Afrika Selatan menggandakan kedudukan melalui Guy Morgan pada minit ke-17 dan menambah gol ketiga melalui Nqobile Ntuli pada minit ke-26.
Muhammad Razie Abd. Rahim meledak dua daripada tiga gol Malaysia, manakala satu lagi jaringan disempurnakan Muhammad Firhan Ashari.