KUALA LUMPUR: Hasrat beregu wanita Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti untuk mempertahan gelaran yang dimenangi mereka pada Terbuka Malaysia, tahun lalu, tidak kesampaian akibat kecederaan yang menimpa sewaktu beraksi pada separuh akhir di Axiata Arena, dekat sini, hari ini.
Pasangan No. 11 dunia itu memutuskan untuk tidak meneruskan permainan ketika ketinggalan 0-2 dalam set kedua setelah kaki kanan Siti Fadia terseliuh.
Lawan mereka iaitu gandingan No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China melakar kemenangan dalam set pembukaan 9-21.
Apriyani ketika ditemui pemberita berkata, mereka telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi Terbuka Malaysia, namun, kecederaan Siti Fadia tidak memungkinkan mereka terus berjuang.
“Sedih itu memang sedih, tetapi saya harus berterima kasih kepada Siti Fadia kerana dia telah berjuang sehingga ke separuh akhir,” katanya.
Apriyani turut mengesahkan mereka akan pulang ke Jakarta bagi membolehkan Siti Fadia menjalani pemeriksaan perubatan, sebelum keputusan sama ada menyertai Terbuka India ataupun tidak, minggu depan.
Qing Chen-Yi Fan yang merupakan juara dunia sebanyak tiga kali akan menghitung pertemuan dengan Baek Ha Na-Lee Yu Lim pada final setelah pasangan Korea Selatan itu menewaskan Zhang Shu Xian-Zheng Yu juga dari China 21-17, 23-21.
Sementara itu, untuk aksi beregu lelaki, pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang mengejutkan pilihan ketujuh, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 21-16, 11-21, 21-15 untuk mara ke perlawanan akhir.
Menanti mereka pada final ialah pilihan ketiga, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia yang menundukkan beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae 21-18, 21-17.
Untuk aksi perseorangan lelaki pula, pemain No. 7 dunia, Kodai Naraoka meneruskan rentak cemerlangnya apabila menempah slot final setelah mengetepikan cabaran pilihan kelapan dari Thailand, Kanlavut Vitidsarn 21-17, 19-21, 21-17.
Menanti Naraoka di pentas akhir adalah bintang No. 1 dunia yang juga juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark yang tidak berdepan masalah mengalahkan Kanta Tsuneyama 21-7, 21-15.
Bagi aksi perseorangan wanita, jaguh No. 2 dunia dari China, Chen Yu Fei disingkirkan pemain No. 4 dunia, An Se Young 12-21, 21-19, 9-21.
Bintang muda Korea Selatan itu akan beraksi menentang pilihan pertama, Akane Yamaguchi dari Jepun yang menewaskan jaguh Taiwan yang diletakkan selaku pilihan ketiga, Tai Tzu Ying 21-18, 21-16.
Dalam saingan beregu campuran pula, pada aksi final, esok, akan menemukan beregu Jepun yang merupakan pilihan ketiga, Yuta Watanabe-Arisa Higashino menentang pilihan pertama, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China.
Pada peringkat empat terbaik, Watanabe-Higashino mengalahkan pilihan kedua, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 21-18, 21-15, manakala, Si Wei-Ya Qiong menundukkan pasangan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja 21-16, 21-18. – UTUSAN ONLINE