PETALING JAYA: Pemain skuasy remaja negara, Aira Azman dan dua lagi rakan senegaranya mara ke separuh akhir pada Terbuka Remaja Britain di Birmingham, England, semalam.
Adik kepada Aifa yang menghuni ranking ke-71 dunia itu mengetepikan cabaran wakil England, Asia Harris di suku akhir menerusi kemenangan 11-8, 11-6, 10-12, 11-3.
Pemain berusia 18 tahun itu yang diletakkan selaku pilihan 3/4 bertarung dalam kategori perempuan bawah 19 tahun dan dia memburu gelaran keduanya pada kejohanan tersebut, selepas pernah memenangi kategori bawah 15 tahun sebelum ini.
Menanti pemain kelahiran Kedah itu di peringkat empat terbaik adalah pemain Mesir, Fayrouz Abouelkheir yang menundukkan rakan senegara Zeina Zeineldin 11-4, 11-5, 11-2.
Turut mengikut jejak langkah Aira ialah wakil negara yang beraksi dalam kategori perempuan bawah 13 tahun iaitu Jinooreeka Ning yang menewaskan Joelle Kim dari Kanada 11-5, 11-6, 11-5.
Laluan getir menanti Jinooreeka di separuh akhir apabila dia bakal berdepan pilihan pertama, Malika Taymour dari Mesir.
Seorang lagi wakil Malaysia yang mara ke separuh adalah M. Nickhileswar setelah dia mengalahkan pemain tuan rumah, Ismail Khalil 11-8, 11-7, 11-8 untuk kategori lelaki bawah 15 tahun.
Nickhileswar yang merupakan pilihan pertama kejohanan juga memburu gelaran keduanya selepas menjuarai kategori lelaki bawah 11 tahun pada 2019.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu akan menghitung pertembungan dengan wakil Mesir, Seif Refaay yang mengejutkan pilihan 3/4, Jack Elriani dari Amerika Syarikat 12-0, 11-9, 11-7.
Penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan, Andrew Cross ketika diminta mengulas mengenai persembahan anak-anak buahnya berkata, Aira mempamerkan persembahan mantap menentang lawannya, semalam.
“Tetapi dia bakal berdepan ujian getir menentang Fayrouz yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan ini,” katanya.
Andrew memberitahu, Nickhileswar pula mempamerkan aksi terbaiknya setakat ini dan persembahan yang berdisiplin menyumbang kepada kejayaannya itu.-UTUSAN