PETALING JAYA: Juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dipaksa berhempas pulas sebelum memastikan slot pusingan kedua Terbuka Malaysia menjadi milik mereka selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei dan Yang Po Han di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Sandaran utama negara itu berjaya merakamkan kemenangan 16-21, 21-15, 21-16 dalam tempoh 56 minit, biarpun tanpa kehadiran mentor mereka, Rexy Mainaky di belakang gelanggang.
Keadaan bertambah merisaukan apabila Wooi Yik tidak dapat menghadiri sidang media selepas perlawanan kerana mengalami kecederaan lengan kanan.
Namun begitu, Aaron tampil menjelaskan mereka berjaya untuk mengatasi perasaan gugup di set pertama dan optimis mereka mampu untuk bersaing menentang pasangan China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi di pusingan kedua esok.
“Kami memang sudah tahu angin agak kuat di gelanggang ini, tapi kami sudah biasa kerana setahun kami akan beraksi sebanyak dua kali di sini, cuma kami perlu lebih tenang dan berani untuk menghadapi lawan.
“Walaupun ketiadaan Rexy (Mainaky), kami masih mendapat bimbingan daripada dua orang lagi jurulatih, (Hoon Thien How dan Tan Bin Shen) di belakang gelanggang sebentar tadi.
“Saya rasa mungkin kami tempuhi perlawanan pertama yang ada cabaran seperti ini bagus untuk kami kerana ia akan bantu kami buat persiapan yang lebih bagus untuk perlawanan seterusnya,” jelas Aaron.
Hasrat untuk melihat gandingan muda, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun membuat kejutan ke atas bekas gandingan No. 1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo tidak kesampaian.
Pasangan muda negara itu yang menampilkan aksi bertenaga menentang gandingan Indonesia itu, namun kekurangan pengalaman menyaksikan mereka tunduk dengan keputusan 18-21, 21-23.
Nasib sama turut menimpa gandingan Nur Izzudin Rumsani dan Goh Sze Fei apabila tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng dan Wang Chang dengan keputusan 21-16, 11-21, 17-21.