PETALING JAYA: Todak bersedia melakar kejutan dalam Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (M4) yang membuka tirai di Jakarta, Ahad ini.
Selepas kecewa dalam edisi kejohanan tahun lalu (M3), pasukan itu telah melakukan persiapan terbaik untuk memastikan mereka tidak pulang hampa dari Indonesia.
Pengurus Todak, Radzi Rahman Ibrahim atau dikenali Ikuto berkata, pasukannya membawa kelainan pada edisi kali ini bagi memastikan pasukan negara mampu layak ke pentas final.
“Pastinya Todak akan datang ke M4 dengan pembaharuan kerana kita sedar bahawa pasukan dunia yang lain turut membawa kelainan untuk melakukan kejutan.
“Untuk menghadapi cabaran tersebut, Todak membawa jurulatih baharu dan menyenarai pemain yang lebih segar serta mampu mencipta kejutan di pentas M4 nanti.
“Mereka telah melakukan persediaan lebih baik berbanding saingan M3 sebelum ini.
“Jadi, kita meletakkan sasaran mampu berada di tangga kedua terbaik pada Kejohanan Dunia M4 di Jakarta nanti.
“Pada sasaran awal kita adalah untuk memburu tempat ke upper bracket untuk memudahkan perjalanan ke pentas final, sekali gus dapat membanggakan rakyat Malaysia khususnya,” kata Ikuto.
Todak diundi dalam Kumpulan B bersama wakil tuan rumah, Onic Esport, Malvinas Gaming dari Argentina dan MDH Esports (Vietnam).
Sebagai rekod, ini kali keempat Todak mewakili Malaysia dalam Kejohanan Dunia MLBB dan Team Haq akan menemani mereka di Jakarta.
Sebanyak 16 pasukan antarbangsa yang akan bertarung untuk merebut gelaran juara di samping menawarkan hadiah terkumpul sebanyak AS$800,000 (RM1.8 juta).