DOHA: Argentina mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 selepas berjaya menewaskan Belanda 4-3 dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Lusail sebentar tadi.
Dalam penentuan sepakan penalti itu, Emiliano Martinez muncul wira Argentina apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti Belanda yang diambil Virgil Van Dijk dan Steven Berghuis.
Lautaro Martinez tenang menyempurnakan sepakan terakhir untuk menewaskan Andries Noppert untuk membawa skuad kendalian Lionel Scaloni ke separuh akhir.
Kemenangan itu menyaksikan Argentina akan bertemu Croatia di separuh akhir pada 14 Disember ini bagi merebut slot ke perlawanan akhir Piala Dunia 2022.
Dalam masa perlawanan sebenar, Argentina dua kali berapa di hadapan menerusi pemain pertahanan, Nahuel Molina dan bintang sensasi mereka, Lionel Messi.
Gol pertama Argentina terhasil selepas pada minit ke-33 selepas Molina menyudahkan umpanan Messi yang membelah pertahanan Belanda untuk menjadikan kedudukan 1-0 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Messi menggadakan kedudukan apabila dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Marcos Acuna dijatuhkan Denzel Dumfries dalam kotak penalti.
Tersentak dengan jaringan itu, Belanda memperkemaskan permainan dan hasilnya, anak buah Louis Van Gaal berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-83 menerusi Wout Weghorst.
Bagaikan mendapat gol semangat, mereka terus mengasak hingga ke saat-saat akhir masa tambahan separuh masa kedua dan hasilnya Weghorst berjaya menyamakan kedudukan 2-2.
Gol terhasil selepas Weghorst berjaya menyudahkan umpanan menarik melalui sepakan percuma, dia merembat rendah untuk menewaskan Martinez sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan.
Pada masa tambahan, kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti yang di menangi Argentina 4-3. – Agensi