PETALING JAYA: Ketiadaan tonggak pertahanan seperti Shahrul Saad, Matt Davies dan Corbin Ong pastinya sedikit sebanyak menggugat keutuhan benteng pertahanan skuad Harimau Malaya dalam Piala AFF 2022.
Bagaimanapun, kehilangan itu tidak mahu dijadikan alasan buat penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi dalam memastikan gawang negara mudah dibolosi.
Tambah penjaga gol yang mempunyai ketinggian 1.85 meter itu, dia optimis pemain-pemain yang bakal mengisi kekosongan berkenaan mampu menggalas tanggungjawab tersebut.
“Pada saya, setiap pemain berbeza jadi siapa pun yang diturunkan dalam kesebelasan utama, kita perlu percaya kemampuan masing-masing.
“Semua pemain pastinya akan memberikan yang terbaik dan dengan penampilan muka baharu, sudah pasti mereka juga mahu memberikan persembahan terbaik mereka,” katanya.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/Syihan2-600x344.jpg)
Ketika ditanya mengenai jaminan untuk menjadi penjaga gol utama, Syihan mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan dia tidak pernah berasa selesa dengan prestasinya.
“Saya tidak letakkan diri dalam zon selesa kerana kalau saya selesa, kita akan hilang fokus dan bermain sambil lewa.
“Saya mahu terus bertambah baik untuk pergi lebih jauh dan kekalkan prestasi,” ujarnya.